Majlis Met Gala diadakan setiap bulan Mei di New York untuk merasmikan pembukaan Pameran Muzium Seni Metropolitan dan tetamu yang hadir diminta untuk mengikuti tema yang telah ditetapkan.
Pameran tahun ini diinspirasikan daripada Notes On Camp yang dihasilkan oleh Susan Sontag. Kami kongsikan 5 fesyen seperti cerita dongeng yang dapat memukau pandangan anda sepanjang majlis Met Gala ini.
1. Zendaya

Zendaya yang merupakan pelakon filem The Greatest Showman mengenakan gaun berwarna biru yang diinspirasikan daripada cerita dongeng, Cinderella. Pada awalnya, gaun tersebut berwarna kelabu dan mula bercahaya warna biru apabila ibu pari-pari, Law Roach menghalakan tongkat saktinya.
Menurut People, gaun tersebut diilhamkan daripada koleksi Summer 2017 oleh Brand yang menggunakan gaun robotik. Zendaya menggayakan rambutnya dengan sentuhan blonde French dan dipadankan dengan kasut tumit tinggi dan juga klac kereta kuda yang berbentuk labu sama seperti Cinderella.
2. Deepika Padukone

Pelakon Deepika Padukone memilih gaun berwarna merah jambu untuk digayakan di majlis Met Gala. Ia diliputi oleh beratus-ratus perhiasan kecil 3D hasil kerjasama antara pereka fesyen, Zac Posen dan General Electric Additive (GEA) bersama Protolabs.
Gaun Deepika ini mempunyai lapisan skirt yang kompleks dan dihiasi dengan 408 buah perhiasan kecil 3D berbentuk landak laut. Menurut Harpeer Bazzar, perhiasan ini dihasilkan dengan menggunakan teknik stereolithography dan mengambil masa selama 160 jam untuk siap dijahit pada gaun tersebut.
Gaun tersebut kelihatan seperti Barbie dan puteri dalam cerita dongeng yang moden. Hasilnya sangat memuaskan sehingga suaminya menggelar dirinya Barbie kerana gaun itu.
3. Emma Roberts

Pelakon Scream Queens, Emma Roberts berjaya memukau ramai orang dengan keayuannya dalam gaun berwarna merah jambu dan digayakan dengan tiara dan anting-anting bertemakan bunga.
Gaun tersebut direka khas oleh Giambattista Valli daripada koleksi Haute Couture Spring 2019. Dengan gaya ini, Emma kelihatan seperti seorang pari-pari hutan yang menjaga keharmonian hutan.
4. Lana Condor

Lara Condor yang juga dikenali sebagai Lara Jean dalam To All The Boys I’ve Loved Before memilih gaun tulle pendek berwarna merah jambu yang direka khas oleh pereka fesyen yang sama seperti Emma Roberts.
Menurut Bustle, ini merupakan kali pertama beliau ke majlis Met Gala dan penampilan beliau tidak mengecewakan ramai orang. Gaun ini diambil sumber inspirasi dari filem tersebut yang memaparkan Lara Jean, seorang gadis feminin yang berpakaian cardigan berwarna merah.
Gaun Lara kelihatan seperti gula-gula kapas kerana kainnya sangat ringan dan lembut apabila beliau bergerak. Walaupun beliau mengenakan make-up yang simple dengan pemerah pipi merah jambu tetapi beliau tetap kelihatan elegan dan feminin.
5. Jourdan Dunn

Jourdan Dunn, seorang model dan pelakon menggayakan 30 paun gaun diperbuat daripada plastik yang berbentuk seperti kelopak bunga besar. Menurut The New York Times, gaun tersebut juga direka khas oleh pasukan yang sama seperti Deepika Padukone.
Setiap kelopak bunga mempunyai berat sebanyak 1 paun dan ia nampak realistik. Bagi menyiapkan gaun ini, ia mengambil masa beratus-ratus jam untuk cetak dan mewarnakan kelopak tersebut.
Walaupun mengambil masa yang lama untuk siap, gaun tersebut benar-benar memukau ramai orang kerana Jourdan kelihatan seperti pari-pari bunga.
Semua orang kelihatan cantik dan menawan di majlis Met Gala. Mana satu yang menjadi pilihan anda?