YouTuber Dari Korea Ini Hampir Melafazkan Syahadah Di Hadapan Warganet

Seorang penyanyi dan komposer muzik dari Cheonan, Korea ini hampir melafazkan syahadah di dalam sebuah video yang berdurasi empat minit dan dua saat. Video tersebut telah dimuat naik di laman YouTube miliknya dan mendapat tontonan sebanyak 60,197.

Jay Kim, 26, amat menggemari bidang muzik. Dia banyak memuat naik lagu-lagu cover dan yang paling menarik ialah dia turut menyanyikan lagu cover Kun Anta nyanyian asal Humood dalam bahasa Arab.

Pelajar University of Seoul ini mula tertarik dengan Islam sejak dua tahun lalu. Ketika itu dia kerap membuat siaran langsung melalui aplikasi Bigo Live yang mana agak popular di sekitar Asia Tenggara. Oleh itu, dia mempunyai banyak peminat Muslim dari Indonesia dan Malaysia.

Jay Kim langsung tidak menjangka majoriti rakyat di Malaysia dan Indonesia adalah Muslim. Dia yang pada awalnya mempunyai sedikit prejudis terhadap Islam kerana terpengaruh dengan media sosial berkata bahawa prejudisnya hancur sama sekali apabila mendapat peluang melakukan persembahan untuk peminatnya di Jakarta, Indonesia.

“Tiada lelaki yang bermuka bengis dengan jambang yang panjang atau wanita misteri yang berpakaian hitam menutup keseluruhan badan kecuali mata. Itu semua hanya dalam imaginasi saya yang terpengaruh dari media,” kata Jay Kim dalam salah satu videonya.

Setahun selepas itu, dia telah melawat ke negara Tunisia. Dia berjumpa dengan ramai Muslim yang baik hati dan peramah. Bermula dari situ Jay Kim telah cuba belajar tentang Islam dan membetulkan fakta tentang Islam yang negatif di media.

Lama-kelamaan, Jay Kim banyak memuat naik video-video yang menggambarkan pendapatnya tentang Islam. Jay Kim juga telah memuat naik video-video vlognya menjalani ibadah puasa semasa Ramadan tahun ini serta melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Cheonan, Korea.

13 jam lepas, lelaki ini mengaku percayakan Allah cuma satu dan Muhammad itu adalah utusan yang terakhir di dalam video di laman Youtubenya yang bertajuk ‘Why do I believe in Allah?’.

“Ketika belajar subjek sains di sekolah dahulu, saya sering tertanya-tanya. Laut dan langit ini dicipta untuk apa? Alam ini mesti dicipta oleh ‘sesuatu’ yang tercipta dengan sendirinya. Sesuatu yang bersifat mutlak,” kata Jay Kim dalam video tersebut.

“Saya percayakan ‘sesuatu’ itu tetapi bukan dari Katolik. Walaupun dilahirkan d dalam keluarga Katolik, saya tidak boleh menerima manusia iaitu Nabi Isa sebagai Tuhan saya atau saya harus menanggung dosa akibat perbuatan Adam dahulu,” tambah Jay Kim.

Bagi Jay Kim, Islam itu sangat mudah dan jelas. Dia hanya perlu sembah Tuhan yang satu dan ikut ajaran Muhammad yang dibawa melalui Al-Quran. Al-Quran pula mengandungi ke semua hal tentang hidup sebagai hamba Allah dan dia hanya perlu menanggung dosanya sendiri.

Jay Kim juga turut meletakkan Malaysia dalam rancangan masa depannya sebagai negara yang dia ingin bermastautin kerana Malaysia adalah negara Islam dan mempunyai banyak etnik dan agama.

Artikel Lain Untuk Di Baca