YouTube Music Kini Ditawarkan Di Malaysia, Ini 6 Sebab Ia Berbeza Daripada Aplikasi Penstriman Muzik Lain

Platform YouTube telah melancarkan aplikasi penstriman muzik yang dikenali sebagai YouTube Music di Malaysia hari ini.

YouTube Music adalah aplikasi khusus buat pendengar untuk melengkapi halwa telinga masing-masing dengan lagu, album, ribuan senarai lagu (playlist) dan juga radio rasmi.

Selain itu, senarai lagu remix berupa katalog, persembahan secara langsung, nyanyian semula dan video muzik yang tidak mungkin ditemui di mana-mana platform penstriman muzik lain juga turut ditawarkan kepada pengguna.

Menerusi satu sidang video bersama Pengarah Pengurusan Produk Muzik YouTube iaitu T. Jay Fowler, YouTube Music memahami minat dan kecenderungan muzik seseorang yang sering melayari laman tersebut.

“YouTube Music boleh ditetapkan mengikut kemahuan peribadi kita. Contohnya, muzik ketika kita berada di rumah, di pejabat atau di gimnasium.”

“Ia turut menyediakan paparan New Release bagi yang tertunggu-tunggu video muzik atau lagu yang baru dilancarkan. Semua paparan itu dipanggil koleksi pengisian (Collection of Content),” jelasnya seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Sementara itu, Ketua Perkongsian Muzik Australia, New Zealand dan Asia Tenggara YouTube serta Google Play iaitu Ruuben van den Heuvel tampil memberikan pencerahan serta kelebihan yang boleh dinikmati apabila pengguna melanggan YouTube Music.

“Sebaik sahaja anda melanggan YouTube Music Premium, anda bebas untuk memuat turun apa sahaja pengisian muzik dan boleh dibawa ke mana sahaja termasuk mendengar secara luar talian.”

“Ramai pelanggan datang berjumpa saya dan memberi maklum balas pengalaman hebat mereka sebaik melanggan YouTube Music Premium. Anda pasti tidak akan menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Menurut Ruuben, beliau sendiri memang sudah sedia maklum dengan karakter segelintir pengguna yang gemarkan barangan percuma. Namun begitu, beliau mengatakan bahawa pengalaman YouTube Music Premium pasti akan memberi kepuasan kepada pendengar.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan rasa teruja dan seronok dalam bekerjasma dengan penggiat seni dan juga syarikat rakaman dari Malaysia.

“Kami seronok bekerja dengan mereka. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan syarikat rakaman di Malaysia seperti Warner Music, Sony Music dan Universal Music.”

“Mereka berkongsi banyak perkara dengan kami dalam muzik, namun apa yang menjadi masalah adalah apabila syarikat rakaman tidak mendigitalkan lagu-lagu lama.”

“Kami kini bekerjasama dengan mereka untuk ke arah itu (mendigitalkan lagu-lagu lama) dan tambahan pula kini YouTube tampil dengan langganan berbayar,” jelasnya.

Meskipun sebelum ini semuanya boleh diakses secara percuma, YouTube Music Premium mampu memberikan kepuasan berganda kepada pengguna kerana ia boleh memainkan lagu serta video sebagai latar belakang dan bertukar-tukar aplikasi pada masa yang sama. Ini bermaksud lagu boleh dimainkan semasa telefon berada dalam keadaan berkunci sekalipun.

Difahamkan, YouTube Music turut boleh diakses di mana sahaja anda berada termasuklah di negara yang tidak menyokong aplikasi berkenaan.

Dengan hanya RM14.90 sebulan, YouTube Music Premium turut menawarkan muat turun luar talian dan penggunaan bebas iklan kepada pengguna.

Berikut kami kongsikan enam sebab menjadikan YouTube Music lain daripada aplikasi penstriman muzik lain:

1. Terdapat banyak video, lagu rasmi, album, rekod single, lagu-lagu remix, persembahan langsung, nyanyian semula dan muzik yang eksklusif dan cuma ada di YouTube Music.

2. Skrin utama beradaptasi secara dinamik yang menyediakan tetapan muzik seiring dengan aktiviti pendengar.

3. Ribuan playlist merentasi pelbagai genre, suasana, aktiviti atau bahasa.

4. Video-video terhangat masa kini.

5. Kewujudan carian pintar sesebuah lagu tanpa perlu mengingati tajuk di mana anda hanya perlu menggunakan keyword.

6. Peralihan video atau audio. Beralih antara video dan audio dengan mudah.

Subscribe YouTube Lejen TV untuk video tentang isu semasa, gaya hidup, sukan, makan-makan dan banyak lagi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca