Yakin Tanah Milik Israel, Peneroka Ini Mahu Rampas Rumah Keluarga Rakyat Palestin

Dengan bulan Ramadan yang bakal melabuhkan tirainya, umat Islam di seluruh dunia dikejutkan dengan berita serangan dan pencerobohan tentera Israel ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada minggu lalu.

Memetik laporan Al Jazeera, serangan itu difahamkan telah tercetus selepas satu rakaman video oleh aktivis Palestin bernama Tamer Makalda tular.

Dalam video tersebut, anda boleh lihat seorang peneroka Israel yang biadab dan cuba merampas rumah milik sebuah keluarga Palestin di Sheikh Jarrah dekat Jerusalem Timur.

Anda juga dapat lihat bagaimana seorang wanita Palestin bernama Mona al-Kurd lantang mempertahankan hak milik rumah keluarganya daripada dirampas Jacob iaitu seorang peneroka tanah.

Namun, apa yang menimbulkan kemarahan orang ramai adalah jawapan Jacob kepada Mona, “Sekiranya saya tidak rampas rumah kamu, orang lain akan mengambilnya.”

Sumber: The Vocket

Selepas video itu tular, masyarakat di seluruh dunia telah melancarkan satu gerakan #SaveSheikhJarrah sebagai tanda protes terhadap tindakan pembersihan etnik yang cuba dilakukan oleh Israel.

“Tentera Israel telah memecah pintu rumah jiran kami lalu menceroboh masuk ke dalam bilik dan menakut-nakutkan anak mereka. Para peneroka juga ‘mengejek’ kami. Alunan muzik dimainkan semasa tentera Zionis ‘berpesta’ melakukan rusuhan di kawasan kami,” tulis kembar Mona iaitu Mohammed di laman Twitter beliau.

Pada Mac lalu, Mahkamah Israel telah mengarahkan enam buah keluarga Palestin di Sheikh Jarrah untuk segera berpindah dan rumah mereka akan diberikan kepada peneroka Yahudi. Enam buah keluarga termasuk keluarga al-Kurd itu semestinya enggan berpindah dan para peneroka tidak berhak rampas rumah mereka.

Pada tahun 1956, 28 buah keluarga Palestin telah tiba di Karm al-Jaouni dekat Sheikh Jarrah sebagai pelarian. Seperti yang dijanjikan oleh pemerintah Jordan dan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), 28 buah keluarga itu diberikan tempat tinggal.

Selain itu, status mereka sebagai pelarian akan terbatal dan rumah berkenaan akan menjadi milik mereka sepenuhnya selepas tiga tahun. Janji itu gagal ditunaikan.

Sumber: Arab News

Jordan kehilangan mandat untuk mentadbir Tebing Barat dan Jerusalem Timur pada tahun 1967 selepas kedua-dua wilayah itu dijajah oleh tentera Israel.

Apa yang membuatkan negara pimpinan Benjamin Netanyahu bertambah yakin untuk rampas semula Sheikh Jarrah kerana sekumpulan peneroka Israel mendakwa keluarga Palestin telah membina penempatan haram di kawasan tanah yang sudah pun menjadi milik orang Yahudi sebelum tahun 1948 lagi. Semoga keadilan berpihak kepada rakyat Palestin kali ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca