Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, berdasarkan data yang dikumpul, Pejabat WHO Negara menganggarkan bahawa Malaysia telah menunjukkan jumlah tertinggi pesakit di hospital pada pertengahan April.
Lebih dikhuatiri adalah jumlah kes COVID-19 di Malaysia juga dijangka bakal mencapai kemuncak pada pertengahan bulan ini.
Menurut laporan, ketua misi merangkap wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura iaitu Ying-Ru Lo, turut menjelaskan bahawa jumlah pesakit kritikal di negara ini dijangka meningkat menjelang minggu depan, namun ramalan WHO itu mungkin berubah.
Ini kerana sehingga hari ini, Malaysia dikatakan mempunyai jumlah jangkitan COVID-19 yang tertinggi di Asia Tenggara dengan 2,908 kes telah disahkan.

Walau bagaimanapun, arahan larangan perjalanan serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Ying-Ru juga berkata, “wujud tanda-tanda lengkungan kadar kes akan mendatar tetapi ia mungkin melonjak kembali jika langkah pencegahan sedia ada dilonggarkan atau orang ramai tidak lagi mematuhi arahan perlindungan.”
Tambahan pula, data mengenai jangkitan baru setakat ini dan langkah pemantauan tambahan tidak menunjukkan penyebaran meluas wabak dalam kalangan penduduk di Malaysia.
Setakat ini Malaysia telah mencatatkan 50 kematian setakat jam 5 petang tadi.

Teruskan duduk di rumah dan kekal tenang. Semoga satu dunia terutamanya negara kita bebas daripada wabak membahayakan ini!
Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan penularan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah: