Wartawan Ini Menyamar Jadi Orang Gila Untuk Menyiasat Sendiri Apa Sebenarnya Berlaku Di Dalam Rumah Sakit Jiwa Itu

“Sekali masuk ke situ, mustahil akan dapat keluar.” Itu apa yang ditulis Nellie Bly tentang pengalamannya yang terperangkap di dalam rumah sakit jiwa itu selama sepuluh hari dalam bukunya.

Foto: Supernatural Stories

Elizabeth Cochran ini berasal dari Pennsylvania dan dilahirkan pada tahun 1864. Dia merupakan seorang gadis yang terkeluar dari zamannya kerana dia asyik memikirkan soal karier dan mahu buat apa yang perempuan lain tidak pernah buat ketika itu.

Dia memulakan kerjayanya sebagai wartawan di akhbar tempatan iaitu Dispatch. Editor merangkap bos memberinya nama pena ‘Nellie Bly’ dan sejak itu nama tersebut melekat dalam dirinya.

Walaupun menjadi wartawan, Nellie tidak berminat menulis tentang fesyen dan tanaman bunga seperti yang biasa ditulis oleh kebanyakan wartawan wanita lain. Dia lebih sukakan cerita-cerita penyiasatan dan tugasan yang berbahaya serta mencabar.

Dia juga menjadi wartawan detektif dan ‘undercover’ bagi mendapatkan cerita.

Tugasan yang dia tidak akan lupa selama-lamanya

Suatu hari, editor memberinya tugasan untuk menulis artikel dan menyiasat keadaan Rumah Sakit Jiwa Wanita di Pulau Blackwell, New York yang dikhabarkan dahsyat itu.

“Macam mana you nak bawa I keluar selepas masuk situ?” tanya Nellie kepada editor tersebut.

“I tak tahu lagi. Tapi kami tetap akan bawa you keluar dengan cara apa sekalipun.” kata editor.

Nellie bersetuju untuk tinggal di rumah sakit jiwa itu selama 10 hari. Dia tidak pernah tahu bahawa tugasan itu akan merubah hidupnya buat selama-lamanya.

Mencari jalan untuk masuk ke dalam hospital mental itu

Inilah Nellie Bly. Foto: Irish Times

Nellie yang biasanya anggun bergaya itu mula buat ‘makeover’ sampai kelihatan seperti orang hilang akal demi sebuah penyamaran.

Dia pakai baju buruk, tak mandi, tak gosok gigi selama berhari-hari dan praktis jadi orang tidak siuman depan cermin. Wanita itu turut mencipta identiti baru untuk dirinya iaitu Nellie Moreno, seorang imigran Cuba.

Kemudian Nellie merayau di jalanan sebelum bermalam di sebuah hostel khas untuk perempuan. Dia ‘meroyan’ dan menggila di situ sehingga mengganggu ketenteraman penghuni lain.

Lantas pihak hostel memanggil polis dan beberapa hari kemudian, doktor dari wad psikiatri Hospital Bellevue memeriksanya. Nellie menyatakan bahawa dirinya hilang ingatan dan lupa bagaimana dia boleh sampai ke New York.

Akhirnya doktor tersebut mengesahkan Nellie ‘gila’ dan perlu dihantar ke Pulau Blackwell.

Rumah Sakit Jiwa Di Pulau Blackwell

Rumah sakit jiwa di Pulau Blackwell. Foto: StmuHistory

Nellie menaiki sebuah feri yang sangat kotor untuk sampai ke pulau itu. Dia dibawa ke sebuah rumah sakit jiwa yang menempatkan lebih 1000 pesakit.

Institusi itu dibuka pada tahun 1839 dan merupakan hospital mental pertama di Amerika. Namun begitu, peruntukan kewangan untuk hospital dipotong dan tiada sebarang perancangan untuk memajukan hospital tersebut.

Akhirnya Nellie mendapat tahu bahawa staff dan keadaan di rumah sakit jiwa itu jauh lebih gila daripada pesakitnya sendiri.

Bagaikan berada di dalam ‘neraka’

Para doktor dan jururawat di situ pula tidak begitu terlatih dan sangat kejam. Rawatan yang diberikan kepada pesakit bukan membuatkan mereka semakin sembuh tetapi lebih sakit jiwa.

Nelly berasa sangat takut dan melihat sendiri bagaimana pesakit-pesakit tersebut diseksa secara mental dan fizikal. Antaranya adalah:

1. Pesakit (termasuk Nellie) dipaksa mandi sekolah air sejuk berais dan dibiarkan basah selama beberapa jam sehingga jatuh sakit.

2. Mereka juga dipaksa duduk di atas kerusi, tidak boleh bercakap, bergerak, membaca dan menulis selama lebih 12 jam.

3. Sesetengah pesakit yang dianggap berbahaya diikat dan digantung dengan tali.

4. Pesakit dibiarkan menggigil kesejukan dan tidak diberikan pakaian yang sesuai walaupun sudah puas merayu.

5. Makanan dan kebersihan kawasan itu sangat teruk seperti daging busuk, roti berkulat dan air tercemar. Nellie pernah terlihat ada labah-labah dalam makanannya. Pesakit terpaksa memakannya dan jika kompelin, nanti akan dipukul.

Nellie bertambah terkejut apabila rupa-rupanya kebanyakan pesakit di situ bukanlah gila tetapi mereka merupakan imigran yang tidak tahu berbahasa Inggeris dan miskin. Mereka sebenarnya manusia normal tetapi kesihatan mental dan fizikal mereka semakin terjejas kerana dipenjarakan di situ.

Nellie berhenti berperwatakan seperti orang tak betul dan mula berkelakuan seperti dirinya yang dulu. Apa yang lebih menakutkan, staff di hospital itu menganggap dirinya lebih gila apabila dia berbicara seperti orang normal.

Nellie berjaya keluar dari tempat itu

Hampir sepuluh hari berlalu dan penyamaran Nellie hampir terbongkar. Organisasi tempat kerjanya menghantar peguam untuk membawanya keluar dari situ.

Selepas itu, Nellie segera mengambil langkah bijak dengan menulis koleksi artikel yang dibukukan bertajuk ‘Ten Days In A Madhouse’. Pendedahan demi pendedahan mengenai hospital mental itu dibuat dan siri artikel tulisannya mendapat sambutan hangat daripada ramai pembaca.

Cerita-cerita keganasan dan penyeksaan terhadap pesakit mental itu mendapat perhatian pihak berkuasa. Mereka pergi melawat rumah sakit jiwa tersebut untuk siasatan lanjut.

Malangnya, pihak staff hospital cuba tutup kes tersebut dengan membersihkan kawasan hospital, baru ada bekalan makanan minuman bersih, para pesakit dipindahkan ke tempat lain dan ramai staff menyangkal dakwaan Nellie itu.

Namun pihak berkuasa lebih percaya dan berpihak kepada Nellie.

Hampir semua staff hospital tersebut dipecat, penterjemah diupah untuk membantu pesakit imigran dan mengubah sistem untuk mengelakkan sesiapa yang sebenarnya tak ada masalah mental masuk ke situ. Duit sejuta dolar turut dimasukkan ke dalam bajet hospital tersebut.

Kes itu telah mengharumkan nama Nellie sebagai seorang wartawan penyiasatan yang disegani.

Dia tidak kisah dengan populariti itu kerana apa yang lebih penting baginya adalah kepuasan apabila kerjayanya membantu orang yang dalam kesusahan agar terjaga dengan lebih baik.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang kisah seorang lelaki licik ini yang pernah menjadi penipu kelas satu dunia. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca