Warna Kuku Petunjuk Kesihatan? Jangan Ambil Mudah Tentang Penjagaan Kuku Anda

Penjagaan kuku mungkin tidak dianggap penting seperti penjagaan wajah. Bagi sesetengah wanita, ianya dikatakan sudah memadai memotong kuku seminggu sekali untuk menjaga kebersihan diri.

Walau bagaimanapun, sesetengah wanita juga selalu beranggapan mereka tidak mempunyai banyak pilihan, terutama bagi yang beragama Islam.

Sebenarnya penjagaan kuku tidak hanya terhad kepada memotong, tetapi merangkumi rawatan membuang kutikel, membersih, melembap dan membentuk bahagian tepi kuku dengan baik bagi mengelak risiko cagu atau cengkam.

Jangan ambil mudah sebarang perubahan pada warna, rupa dan bentuk kuku kerana ianya mungkin petanda atau simptom kepada penyakit serius seperti anemia, masalah jantung, psoriasis (keradangan kulit), kegagalan hati, diabetes atau tidak mustahil juga anda kekurangan zat.

Memandangkan kadar pertumbuhan kuku setiap individu itu berbeza, adalah penting untuk kita semua mengutamakan penjagaan kuku mengikut keperluan tubuh masing-masing.

Berikut adalah sebahagian kaedah penjagaan kuku yang mudah untuk anda jadikan panduan.

1. Diet sihat

Terdapat banyak makanan berkhasiat yang boleh menjadikan kuku anda kuat, sihat dan nampak menarik. Antaranya timun, bawang putih, kekacang, bawang besar, telur, beras perang, asparagus, hati, salmon, tuna, anggur dan epal.

2. Menggigit kuku

Tabiat menggigit kuku bukan sahaja merosakkan bentuk kuku, malah menunjukkan anda seorang yang pengotor! Bagi mereka yang mempunyai masalah diabetes, tabiat menggigit kuku boleh menyebabkan jangkitan. Jadi, elakkan berbuat demikian untuk tujuan kebersihan dan menjaga imej anda sebagai wanita.

3. Vitamin

Bukan bahagian tubuh sahaja yang memerlukan vitamin malah, kuku juga memerlukan vitamin untuk sihat. Amalkan pengambilan vitamin A, B, C, D dan E kerana ianya baik untuk kuku.

4. Losen pelembap

Seperti kulit, kuku juga memerlukan pelembap setiap hari. Cukup dengan memakai losen badan atau kuku.

5. Pertumbuhan kuku

Pengambilan kalsium dan zink dapat membantu pertumbuhan kuku dan menjadikannya lebih kuat dan sihat. Elakkan pengambilan alkohol secara berlebihan kerana ianya boleh merosakkan serta mengeringkan kuku.

6. Pengetip kuku

Pilih peralatan yang tajam untuk mendapatkan bentuk kuku yang lebih kemas. Amalkan memotong kuku selepas mandi atau merendamnya seketika dalam air suam. Jangan koyakkan lebihan kuku kerana ianya mungkin mencederakan anda.

7. Menghias kuku

Menghias kuku sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ini tidak bermakna anda harus mewarna dengan cat atau mengoles pengilat. Anda hanya perlu membersihkan kutikel lembut yang menutupi bentuk kuku dan memperkemas bahagian tepi supaya indah dipandang.

Terdapat juga jenis kuku yang rosak dan perlu dirawat segera. Keadaan ini kerap berlaku dan sering dipandang remeh berikutan kurangnya kesedaran terhadap jenis penyakit dan simptom yang dihidapi.

1. Kuku kekuningan

Antara penyebab kuku menjadi kuning adalah jangkitan fungus. Dalam keadaan jangkitan yang teruk, lapisan kuku mungkin tertarik, kuku semakin menebal, pecah atau hancur. Dalam sesetengah kes, kuku kuning disebabkan masalah kesihatan serius seperti penyakit berkaitan kelenjar tiroid yang teruk atau psoriasis.

2. Kuku kebiruan

Keadaan kuku sebegini menunjukkan tubuh anda tidak mendapat oksigen yang cukup. Ianya boleh berlaku disebabkan jangkitan paru-paru atau pneumonia. Rujuk doktor untuk lebih kepastian.

3. Kuku berkedut atau seakan berombak

Keadaan ini selalu dikaitkan dengan tanda awal psoriasis atau radang sendi.

4. Kuku retak atau merekah

Keadaan ini kerap dikaitkan dengan masalah tiroid. Kombinasi kuku merekah dan kekuningan pula menunjukkan terdapatnya jangkitan kuman.

5. Garis hitam bawah kuku

Keadaan ini perlu diperiksa doktor bertauliah kerana ia mungkin disebabkan oleh melanoma iaitu sejenis kanser kulit berbahaya.

Semoga perkongsian di atas dapat membantu anda semua untuk lebih mengambil berat tentang penjagaan kuku.

Penulis:

  • Nur Fatihah Binti Abd Rahman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan tips, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca