Warga Asing Peluk Erat Seorang Kanak-Kanak, Warganet Dapati Mukanya Mirip Adik Zahiruddin Putra Yang Hilang

Pada 16 April lalu, negara kita telah digemparkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak iaitu Muhammad Zahiruddin Putra Bin Mohd Fauzi. Misteri kehilangan kanak-kanak yang berusia 8 tahun itu masih belum menemui titik noktah sehingga sekarang.

Baru-baru ini, satu video yang memaparkan seorang lelaki warga asing bersama dengan seorang kanak-kanak sedang berada di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang menuju ke Stesen MRT Maluri telah tular di laman Twitter.

https://twitter.com/InvsibleRainbow/status/1184870987403157504

Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman sosial itu berjaya mencuri perhatian warganet kerana ia menimbulkan keraguan orang ramai. Menerusi rakaman itu, lelaki tersebut dilihat sedang memeluk budak berkenaan dengan erat sekali.

Namun begitu, lebam pada bawah mata kanak-kanak itu yang kelihatan seolah-olah dipukul seseorang telah menimbulkan keraguan orang ramai. Selain itu, muka budak lelaki berkenaan juga kelihatan begitu familiar.

Tinjauan kami di ruangan Replies pada tweet berkenaan mendapati bahawa rata-rata warganet menyatakan rasa bimbang mereka jikalau budak itu sebenarnya merupakan mangsa culik. Hal ini demikian kerana wajahnya begitu mirip sekali dengan adik Zahiruddin Putra yang hilang sejak 6 bulan lalu.

Difahamkan, individu yang merakam video tersebut telah pun membuat laporan polis. Pada masa yang sama, salah seorang pengguna Twitter juga telah memaklumkan perkara itu kepada ibu adik Zahiruddin Putra.

Walau bagaimanapun, ibu kepada adik Zahiruddin Putra, Sainih Sunding menyatakan bahawa kanak-kanak dalam video itu bukan anaknya yang hilang.

“Naluri saya sebagai ibu kuat menyatakan bahawa dia bukan anak saya,” kata wanita yang berusia 46 itu.

“Apabila saya melihat video itu, saya mendapati bentuk wajah kanak-kanak dalam rakaman tidak sama seperti Zahir termasuk mata dan kening.”

“Mungkin bahagian hidungnya agak serupa, namun saya yakin kanak-kanak itu bukan Zahir,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Tambah wanita itu lagi, perasaan sedih menyelubungi dirinya semula setelah melihat video berkenaan.

“Saya teringat pada Zahir. Apabila melihat video itu, saya bimbang terhadap nasib dia kerana khuatir benda buruk berlaku terhadapnya,” luahnya.

Untuk rekod, mangsa yang mesra dengan nama panggilan Zahir itu dikatakan keluar dari rumahnya dekat Bandar Seri Putra, Bangi sekitar jam 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Artikel Lain Untuk Di Baca