Wanita Maut Digigit Anjing, 1 Kes Rabies Baru Di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa terdapat satu kes rabies baru yang terjadi dalam kalangan rakyat Sarawak baru-baru ini. Ini menjadikan jumlah kes rabies di Sarawak mencapai empat orang pada tahun 2020. Manakala, kumulatif kes rabies di Sarawak menunjukkan 26 kes semenjak wabak rabies dimaklumkan terjadi di Sarawak pada 31 Julai 2017 sehingga 21 Oktober 2020.

Mangsa, 34, merupakan seorang wanita telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki semenjak lima hari yang lalu. Pesakit disahkan meninggal dunia pada 18 Oktober jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

Disahkan, wanita tersebut dijangkiti virus rabies berdasarkan ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober lalu.

Siasatan mendapati kawasan tempat tinggal pesakit berdekatan dengan tapak pelupusan sampah yang mana kawasan anjing liar berkeliaran. Dipercayai pesakit pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan sebarang rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. Dimaklumkan bahawa anjing berkenaan tidak diberi suntikan vaksin anti-rabies dan bebas bercampur dengan haiwan lain.

Haiwan peliharaanya didapati telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian terjadi di mana anjing tersebut telah menggigit seorang lagi individu di kawasan berkenaan. Walaubagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.

Sumber: KKM

KKM turut menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit rabies. Antaranya adalah mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan juga mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan berhampiran.

Selain itu, orang ramai yang mempunyai haiwan peliharaan dinasihatkan mendapat suntikan vaksin anti-rabies dan tidak membenarkan bercampur dengan haiwan liar yang lain. Laporkan juga kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar di kawasan anda dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri seperti amal cuci tangan dengan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

Berikutan kes ini, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mangsa. KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies akan dilaksanakan secara menyeluruh.

Untuk membaca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca