Wanita Licik Ini Sempat Merasa Hidup Gaya Jutawan Meskipun Tiada Sesen Dalam Bank

Instafamous ini bukan saja telah mencuri hati para elitis di New York-tetapi juga duit mereka.

Sumber gambar: Instagram Anna

New York- sebuah hutan konkrit di mana terciptanya mimpi-mimpi ini menjadi pilihan seorang imigran Rusia, Anna Sorokin untuk membina hidup baru.

Dia datang ke kota raya kosmopolitan itu dengan identiti baru sebagai Anna Delvey yang kononnya merupakan pewaris kekayaan dari Jerman dengan harta bernilai US$ 60 juta.

Meskipun perempuan berusia 28 tahun itu tidak pernah masuk sekolah mewah atau berkenalan dengan orang-orang kenamaan, doppelganger dirinya iaitu Anna Delvey pernah. Dia cekap memanipulasi dan meyakinkan golongan banker, hotelier dan socialite yang dahagakan kehidupan mewah itu.

Watak cereka itu membolehkan dia untuk menyelit masuk ke dalam mana-mana parti atau acara seni bagi bergaul dan bergesel bahu dengan selebriti, seniman, atlet dan CEO. Dengan rupa bak anak patung porselin dan ribuan followers di Instagram serta perlakuannya yang suka tabur duit sana-sini, tiada siapa yang persoalkan siapa sebenarnya ‘Anna Delvey’ ini.

Sumber gambar: Instagram Anna

Siapa sebenarnya ‘Anna Delvey’?

Anna Sorokin aka Anna Delvey sebenarnya berasal daripada golongan kelas pertengahan yang berpindah-randah dari Rusia-Perancis-Jerman sebelum tiba di New York dan menjadi con-artist.

Sumber gambar: Instagram Anna

Dia dijatuhi hukuman penjara sehingga 12 tahun atas tuduhan kes penipuan- tinggal di hotel, restoran mewah dan mengeluarkan duit lebih US$200,000 secara haram sepanjang masa hidup mewah di New York. Dia juga dituduh memalsukan dokumen bagi mendapatkan pinjaman bank sebanyak $22 juta.

Sumber gambar: Dazed

Matlamatnya adalah menempatkan diri dalam art scene dengan cara pergi ke restoran dan kelab berkelas tinggi kemudian memaparkan gaya hidup yang sempurna di laman Instagram.

Mangsa penipuan yang dicukurnya adalah golongan kaya-raya seperti pemilik hotel, bank dan pelabur. Orang-orang inilah yang menanggung segala perbelanjaan Anna. Salah seorang daripadanya yang paling terkesan sekali adalah bekas kawan baik Anna iaitu Rachel Williams.

Rachel Williams

Rachel Deloache Williams, bekas editor fotografi di Vanity Fair ini berkenalan dengan Anna melalui kawannya. Dia percaya yang Anna betul-betul seorang pewaris kekayaan dari Jerman terutama setelah melihat gaya hidupnya yang nampak hipster di Instagram. Sejak itu mereka berkawan.

Sumber gambar: Instagram Anna

Namun persahabatan antara Anna dan Rachel berakhir dengan begitu dramatik setelah makan malam di tempat mahal, clubbing dan membeli-belah bersama-sama. Hal ini kerana Rachel terkejut apabila bil kad kredit $62,000 sampai ke tangannya selepas mereka berdua melancong ke Marrakesh pada tahun 2017.

Anna berjanji untuk bayar balik tetapi janji tinggal janji. Akhirnya Rachel melaporkan kepada polis dan dari situlah cerita tentang kawannya itu terbongkar.

Rasa tertipu itu merupakan satu pengalaman traumatik buat Rachel kerana dia menyangka persahabatan mereka adalah ‘real’. Sejak itu, wanita ini mendapat pengajaran yang paparan kehidupan dalam media sosial merupakan sesuatu yang ‘tengok boleh tapi percaya jangan’.

Rachel menumpahkan segala rasa dan cerita tentang (bekas) kawan baiknya itu di atas kertas sebagai terapi dan akhirnya ia menjadi sebuah buku bertajuk My Friend Anna: The True Story of Anna Delvey, the Fake Heiress of New York City yang kemudiannya dibeli oleh HBO dan Netflix untuk difilemkan.

Tertangkap

Akhirnya jaring-jaring kebohongan yang halus ditenun Anna seperti labah-labah untuk perangkap mangsa telah menjerat dirinya sendiri.

Apa yang membuatkan Anna sedih bukan kerana ditangkap tetapi headline berita yang bertulis ‘Wannabe Socialite’ dan cerita yang kononnya dia mahukan duit untuk berfoya-foya. Bagi Anna, bukan semua benda tentang wang. Dia cuma mahu merasai sebuah kehidupan yang dirasakan ideal pada pandangan matanya.

Sumber gambar: Oyster Magazine

Menurut peguam yang mewakilinya dalam perbicaraan mahkamah, Anna tidak bermaksud untuk menipu pada awalnya, namun terpedaya dengan godaan gaya hidup glamor yang memaksanya untuk terus hidup dalam kepuraan.

“Percayalah, delusi kehidupan mewah itu merupakan hal biasa di kalangan millennials.” kata peguam itu lagi.  Media sosial telah menimbulkan keinginan ramai pengguna untuk menjadi selebriti internet dan kekayaan material menjadi kayu ukur.

Wanita licik ini tidak mencari peluang, sebaliknya mencipta peluang itu sendiri.

Semoga kisah Anna Sorokin ini turut memberi pelajaran kepada kita bahawa tak ada benda yang baik tentang ketamakan, penipuan dan mahu jadi diri orang lain walau apa jua matlamat.

Sedar tak sedar, mungkin terselit sedikit ‘Anna’ dalam diri kita.

Artikel Lain Untuk Di Baca