Wanita Ini Sertai Misi Mencari Penumpang Hilang Sebelum Sedar Dia Sebenarnya Yang Dicari

Kadangkala, apa yang dicari mungkin ada di hadapan mata. Itulah apa yang terjadi kepada seorang pelancong warga Asia yang enggan dikenali selepas dia menyertai sebuah misi mencari dan menyelamat di Iceland pada tahun 2012.

Segalanya bermula apabila seorang pemandu bas melaporkan kepada pihak polis mengenai salah seorang pelancong warga asing dibawanya telah hilang daripada kumpulan.

Wanita yang hilang itu digambarkan sebagai warga Asia dan berketinggian 160 sentimeter, berpakaian gelap serta mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lancar.

Jelas pemandu bas itu lagi, mangsa berkemungkinan hilang di Eldgjá iaitu sebuah kawasan gunung berapi di selatan Iceland.

Susulan daripada laporan itu, sebuah operasi mencari dan menyelamat mula dilakukan oleh pihak berkuasa dan disertai oleh 50 individu yang lain.

Operasi yang bermula pada hari Sabtu itu walau bagaimanapun, ditamatkan pada awal pagi keesokan harinya selepas salah seorang sukarelawan yang menyertai misi mencari dan menyelamat itu akhirnya menyedari dirinya adalah pelancong yang dicari.

Menurut wanita itu, dia tidak sedar dirinya dilaporkan hilang dan langsung tidak mengenali deskripsi pelancong perempuan yang digambarkan pemandu bas berkenaan.

Difahamkan, semasa pelancong itu dilaporkan ‘hilang’, wanita berkenaan sebenarnya sudah turun buat seketika dari bas di sebuah hentian rehat untuk menyegarkan diri.

Usai menukar pakaian, dia kembali ke pengangkutan terbabit sebelum dimaklumkan mengenai kes kehilangan berkenaan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila pelancong wanita terbabit gagal mengenal pasti gambaran orang hilang itu adalah dirinya malah, menyertai operasi mencari dan menyelamat berkenaan.

“Pakaian saya yang telah ditukar mungkin menyebabkan orang lain tidak mengenali saya,” ujarnya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan destinasi pelancongan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca