Wanita Ini Minta Cerai Gara-Gara Rimas Suami Terlalu Penyayang

Hanya kerana si suami terlalu menyayangi dirinya dan tidak pernah bertengkar, seorang wanita di Uttar Pradesh, India akhirnya mengambil keputusan untuk menuntut perceraian di mahkamah selepas 18 bulan mendirikan rumah tangga bersama.

Memetik laporan The Week, wanita berkenaan mengatakan bahawa dia berasa muak dan tidak boleh menerima apabila suaminya sering kali meluahkan perasaan dengan penuh rasa cinta.

Ujar wanita itu, dia berasa sangat rimas dengan kebaikan suaminya. Pada masa yang sama, suaminya juga tidak pernah memarahi dirinya dan tidak pernah berasa kecewa meskipun dia beberapa kali melakukan kesilapan.

“Setiap kali saya melakukan kesalahan, dia selalu memaafkan saya. Saya pelik kerana dia terlalu baik,” kata wanita itu.

Selain itu, suaminya juga dikatakan rajin membantunya di dapur dan melakukan tugas-tugas rumah tangga. Namun begitu, perkara tersebut malah membuatkan wanita berkenaan semakin muak dan rimas.

Difahamkan, wanita berkenaan memberitahu pihak mahkamah yang dia tidak mahu meneruskan kehidupan rumah tangga itu kerana suaminya sentiasa bersetuju dengan semua cadangannya. Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan itu dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu tindakan yang melulu.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, wanita tersebut kemudian bertindak mengajukan permohonan cerai di panchayat, namun usahanya itu tetap gagal.

Dalam pada itu, pihak mahkamah meminta dan menasihati agar pasangan berkenaan menyelesaikan sendiri masalah rumah tangga mereka kerana perceraian bukanlah jalannya.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi kisah yang hampir sama di mana seorang wanita menuntut cerai gara-gara bosan dengan suami yang terlalu baik dan asyik kemas rumah tanpa disuruh. Untuk baca artikel penuh dan artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca