Dari kisah benar yang ajaib kini telah direkod dan dibincangkan dalam dokumentari dunia perubatan, seorang wanita berumur 75 tahun dari Morroco telah melahirkan bayi batu yang telah dikandungkan di dalam badannya selama 46 tahun iaitu hampir separuh abad.
Kisah benar wanita yang bernama Zahra Aboutalib ini telah terbongkar pada tahun 2001 apabila dia dilaporkan mengalami sakit di bahagian perut yang amat kritikal pada umur 75 di Rabat, ibu kota Morocco.
Zahra disahkan mengandung buat pertama kalinya ketika berumur 26 tahun ketika berada di kawasan kampung di luar daerah Casablanca, Morroco. Setelah menanggung sakit bersalin selama 48 jam, dia telah dikejarkan ke hospital tempatan dan telah dijadualkan untuk menjalani Caesarean Section setelah disarankan oleh doktor di situ.
Ketika menunggu, dia melihat seorang wanita meninggal kesakitan ketika melahirkan anak. Takut yang dia juga bakal menerima nasib yang sama di situ, Zahra bertindak melarikan diri dari hospital tersebut.
Zahra masih menanggung sakit di perutnya tapi tidak mengalami keguguran malah sakit tersebut surut setelah beberapa hari. Zahra juga percaya akan mitos penduduk Morrocon ‘The Sleeping Child’ lalu meneruskan rutin harian normalnya seperti biasa. Tambahan lagi, dia juga mengambil 3 orang anak angkat.
Mitos ‘The Sleeping Child’ merupakan kisah rakyat penduduk Morroco dan rakyat Maghreb yang mengatakan wujud ilmu sihir hitam yang mampu membuat janin tidak aktif atau tertidur dan bakal terbangun dan mampu dilahirkan melebihi jangka waktu normal hamil.
Zahra berpegang kuat kepada mitos ini. Setelah 46 tahun kemudian iaitu semasa dia berumur 75 tahun, sakit di perutnya kembali mendadak. Pemeriksaan ultrasound menunjukkan objek berjisim besar yang sukar untuk dikenalpasti.
Anak angkatnya telah membawa dia bertemu Professor Taibi Ouazzani. Pada awalnya, beliau mengesyaki Zahra mempunyai ketumbuhan di rahim berdasarkan bentuk perutnya yang memboyot ke hadapan. Untuk mengesahkan teori beliau, Zahra telah dihantar sekali lagi untuk menjalani pemeriksaan ultrasound.
Setelah melihat objek berjisim yang tidak diketahui, beliau kemudian menyuruh Zahra diperiksa semula oleh pakar Radiografi. Akhirnya, pemeriksaan MRI telah mengesahkan bahawa objek tersebut adalah bayi Zahra yang telah mengeras tanpa dilahirkan.
Doktor dan pengkaji telah membuat kesimpulan bahawa Zahra telah melalui Ectopic Pregnancy di mana benih bayi tersebut telah disemai di luar Rahim iaitu di tiub Fallopian yang mengakibatkan pecahnya saluran tersebut semasa proses matang janin, dan bergerak ke rongga abdomen.
Janin telah menyalurkan dirinya melalui plasenta yang bersambung dengan organ penting berdekatan dengan abdomen Zahra. Setelah para doktor mengadakan perbincangan jika operasi pembedahan adalah selamat setelah mengambil kira umur Zahra dan posisi janin yang melekat dengan organ dia, mereka bersetuju untuk mengambil risiko pembedahan tersebut.
Semasa pembedahan dijalankan, doktor menemui janin tersebut telah mengeras sepenuhnya menjadi sebuah objek gumpalan pepejal yang keras. Secara ringkasnya, bayi keras tersebut telah melekat dengan lapisan dinding abdomen Zahra dan juga organnya.
Pada tahun 1955, Zahra perlu menjalani prosedur pembedahan yang rumit untuk memisahkan bayi tersebut daripada badannya. Tindakan dia melarikan diri daripada hospital itu 46 tahun lalu mungkin telah menyelamatkan nyawa dia, kerana kemungkinan untuk dia selamat daripada pembedahan tersebut dengan tahap teknologi dan peralatan yang ada pada waktu itu mungkin tidak mampu untuk memisahkan janin tersebut yang melekat dengan organ dalamannya.
Proses pembedahan tersebut juga masih dikira rumit pada tahun 2001. Antara risiko yang Zahra hadapi ialah pendarahan berterusan yang boleh menyebabkan kematian semasa proses pemisahan bayi tersebut daripada organ dalamannya. Bayi tersebut telah melekat bersama dengan buah pinggang, perut, dinding abdomen dan beberapa saluran darah.
Sebarang kesilapan kecil menggunakan pisau pembedahan tersebut mampu menusuk organ-organ dalaman dia lalu menyebabkan kematian. Setelah 46 tahun berlalu, Zahra akhirnya telah melahirkan bayi miliknya.
Setelah menjalani pembedahan selama 4 jam, para doktor bedah akhirnya berjaya memisahkan bayi yang mengeras tersebut daripada badan Zahra. Janin tersebut adalah seberat 3.17kg dan diukur sepanjang 16.5 inci.
Di dalam kes Ectopic Pregnancy, jika janin itu telah mati dan sudah tidak mampu untuk diserap oleh badan ibunya disebabkan saiznya yang besar, tubuh si ibu menganggap ia sebagai objek asing dan akan mengaktifkan tindakan imunisasi terhadap janin itu.
Sebuah lapisan pelindung keras akan terhasil lalu menyaluti bentuk janin tersebut untuk melindungi dalaman ibunya daripada jangkitan dan menyebabkan sel sel janin tersebut kekurangan air dan zat juga dikenali sebagai proses pengawetan yang menjadikan ia sebuah Lithopedion atau bayi batu. Proses ini boleh berlaku setelah 14 minggu dari tempoh hamil yang normal.
Penulis
- Sumayyah Sulaiman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.