Wanita Ini Kongsi Cara Untuk Kenal Pasti Modus Operandi Macau Scam

Baru-baru ini, Macau Scam kembali menjadi bualan ramai selepas seorang lelaki berpangkat Datuk Seri telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Bukan sahaja rapat dengan golongan selebriti, Datuk Seri terbabit dan isterinya juga kerap mempamerkan kehidupan mewah di media sosial mereka sehingga menarik perhatian ramai.

Selepas kes berkenaan menjadi bualan ramai, wanita yang dikenali sebagai Sabrina Shuhaimi yang juga pengasas produk kosmetik Fever Glam ini telah berkongsi cara-cara untuk kenal pasti modus operandi Macau Scam menerusi satu bebenang di laman Twitter.

Kami akan kongsikan beberapa modus operandi sindiket seperti mana dikongsikan Sabrina menerusi artikel ini:

1. Menyamar sebagai kakitangan pejabat pos

Seorang pesara dalam lingkungan usia 70-an di Kepala Batas telah mengalami kerugian sebanyak RM49,490 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang ‘kakitangan’ pejabat pos Seremban.

Mangsa dikatakan mempunyai satu bungkusan yang mengandungi lapan kad kredit. Selepas itu, suspek pun sambungkan panggilan berkenaan kepada seorang Sarjan menyebabkan mangsa akhirnya membuat pemindahan wang berjumlah RM49,490 ke dua akaun berbeza.

Dalam kes kedua, seorang pembantu jualan berusia 27 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM6,960 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan pejabat pos. Mangsa dikatakan mempunyai bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad ATM berkaitan jenayah. Wang mangsa lesap selepas diminta untuk memberikan nombor TAC kepada seorang pegawai polis.

2. Panggilan telefon ‘kakitangan’ Pos Malaysia

Seorang warga emas berusia 90 tahun mengalami kerugian sebanyak RM3.83 juta selepas menerima panggilan telefon daripada Pos Laju Malaysia.

Mangsa difahamkan bahawa terdapat bungkusan dihantar dari Ipoh ke Sabah dengan menggunakan nama beliau. Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada dua orang lelaki mendakwa diri mereka Sarjan Ho Mum Foo dan Inspektor Herman Lee dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. Akhirnya, mangsa masukkan duit ke tujuh akaun syarikat berbeza.

Selain itu, seorang pesara guru berusia 81 tahun di Alor Setar telah mengalami kerugian sebanyak RM100,000 selepas dimaklumkan mempunyai barang terlarang di Pejabat Pos Seremban. Individu berkenaan menawarkan diri untuk membantu mangsa daripada ditahan pihak berkuasa.

Atas sebab takut, mangsa telah memberikan maklumat akaun bank, nombor kad dan nombor pin untuk membolehkan penyerahan barangan tersebut kepada dirinya. Selepas menyemak transaksi dengan bank, beliau mendapati terdapat dua kali pengeluaran berjumlah RM50,000.

3. Cabutan bertuah

Seorang kerani berusia 46 tahun di Seremban telah mengalami kerugian sebanyak RM108,500.

Mangsa dimaklumkan di WhatsApp bahawa beliau telah memenangi hadiah dari luar negara. Beliau diminta untuk memindahkan RM5,000 untuk cukai bungkusan ke akaun Caroline Man dua hari kemudian. Tidak lama kemudian, mangsa diminta untuk memindahkan RM18,500 dan RM75,000 ke akaun sama.

4. Penggubahan wang haram

Seorang suri rumah berusia 68 tahun di Rembau telah mengalami kerugian sebanyak RM183,770 selepas menerima panggilan daripada ‘Koperal Azizah’ dari Balai Polis Jalan Campbell, Seremban.

Mangsa dimaklumkan bahawa kad pengenalan beliau telah digunakan dalam aktiviti wang haram, dadah dan lapan kad ATM di Pos Laju Seremban.

Walaupun mangsa menafikan penglibatannya, beliau kemudiannya disambungkan kepada ‘Koperal Kamarul’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. Selepas panggilan telefon terbabit, mangsa memindahkan RM183,770 ke tiga akaun berbeza.

Selain itu, seorang operator kilang berusia 30 tahun di Johor Bahru telah mengalami kerugian sebanyak RM195,580 selepas dihubungi seorang suspek yang mendakwa sebuah bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan buku cek wanita berkenaan di Sabah.

Suspek mendakwa mangsa didapati terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan perlu membuat bayaran sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan. Mangsa kemudiannya membuat 14 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank.

Seterusnya, seorang pesara berusia 76 tahun di Bayan Lepas telah mengalami kerugian sebanyak RM1.84 juta selepas menerima panggilan daripada ‘kakitangan’ Pos Malaysia.

Beliau dikatakan menerima satu bungkusan barang terlarang mengandungi kad ATM dan kad pengenalan. Mangsa kemudiannya bercakap dengan tiga orang โ€˜anggota polis.’

Mangsa juga dikatakan terlibat dengan kes penggubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta dan sebuah akaun bank dibuka atas nama mangsa.

Akibat terlalu takut, mangsa akhirnya mengikut semua arahan suspek. Beliau turut diminta memindahkan semua wang ke akaun sindiket sekiranya tidak mahu akaun dibekukan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Satu minggu selepas memindahkan RM790,000 ke sebuah akaun enterprise, mangsa diminta untuk masukkan cek berjumlah RM300,00 dan RM350,000 ke dua akaun syarikat pembinaan.

Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar bon jaminan RM1 juta. Beliau membuat pemindahan wang berjumlah RM200,000 ke akaun individu dan RM200,00 lagi dalam akaun enterprise selepas menjual barang kemas dan membuat pinjaman daripada adik-beradik.

Mangsa kemudiannya diminta untuk memasukkan baki RM500,000. Akibat kehabisan wang, mangsa menghubungi anaknya untuk meminjam wang.

Akibat berasa hairan kerana ibunya diketahui mempunyai wang, anaknya meminta mangsa membuat laporan polis selepas percaya ibunya telah ditipu sindiket.

Buat anda yang masih keliru, Macau Scam adalah satu sindiket penipuan telekomunikasi yang menipu orang ramai dengan panggilan palsu dan boleh juga mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit kepada mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pesara dan warga emas.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca