Wanita Ini Ditemui Mati Bersama Anjing Peliharaan 2 Tahun Lalu Tanpa Seorang Pun Mengetahui Tentangnya

Mengejutkan. Hanya itu perkataan yang mampu kami ungkapkan.

Isnin lalu, Singapura dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita berusia dalam lingkungan 80-an bersama dengan bangkai anjingnya di sebuah kondominium di kawasan Katong. Wanita tersebut dipercayai telah meninggal dunia dua tahun lalu, sebelum akhirnya mayatnya ditemui.

Memetik laporan New Straits Times Singapore, wanita tersebut dikenali sebagai Lily Loh.

Mangsa dikatakan tinggal bersendirian di The Shore Residences, sebuah kondominium yang terletak di Amber Road, berdekatan dengan Katong Shopping Centre.

Salah seorang penduduk di kondominium yang sama memberitahu bahawa Puan Loh hanya punya seekor anjing peliharaan sebagai teman. Beliau juga sepertinya tidak mempunyai saudara-mara terdekat ataupun ahli keluarga yang lain. Hal ini kerana beliau tidak pernah dilawat oleh sesiapa pun sepanjang beliau mendiami kondominium tersebut.

Tambahnya lagi, dia tidak lagi melihat kelibat Puan Loh selepas dirinya dan keluarga pulang dari percutian ke luar negara awal Januari lalu.

Penduduk Sekitar Menghidu Bau Kurang Menyenangkan?

Februari 2019: Keadaan mulai mencurigakan apabila mereka yang tinggal di kondominium yang sama terhidu bau pelik di sekitar kawasan koridor utama. Akan tetapi, bau tersebut hilang seminggu kemudian.

Hari berganti hari, beberapa pucuk surat mulai bertumpuk di hadapan pintu kediaman Puan Loh, termasuklah dokumen dari pihak mahkamah yang melibatkan dirinya dan pihak pengurusan kondominium.

Kongsi salah seorang penduduk di situ lagi, pihak pengurusan kondominiun telah diberitahu akan kehilangan warga emas tersebut, tetapi sepertinya tiada sebarang tindakan diambil.

Bagaimana Mayat Puan Loh Akhirnya Dijumpai?

Pada akhir bulan Oktober yang lalu, status kehilangan Puan Loh telah diutarakan kepada Encik Lim Biow Chuan yang merupakan ahli parlimen (MP) kawasan Mountbatten.

Memetik laporan New Straits Time Singapore lagi, laporan polis dibuat dengan serta-merta oleh Encik Lim sejurus selepas beliau diberitahu akan hal itu.

Difahamkan bahawa pihak polis datang untuk membuat pemeriksaan ke atas unit kondominium tersebut pada awal November, tetapi mereka masuk ke dalam kediaman tersebut hanya pada hari Isnin bersama dengan staf pengurusan The Shore Residences yang telah membuat laporan pada hari yang sama.

Pihak polis kemudiannya mengeluarkan kenyataan pada hari Selasa, “Setibanya polis di tempat kejadian, pihak polis menjumpai dua mayat, dipercayai seorang manusia dan seekor anjing di dalam unit kediaman yang beralamat di 87, Amber Road. Hasil pemeriksaan awal setakat ini mendapati tidak terdapat sebarang unsur khianat.”

Berkaitan dengan isu ini, pihak pengurusan kondominium hanya mengulas, “Oleh kerana kami dikhabarkan mengenai keberadaan salah seorang penduduk yang mendiami salah satu unit kondominium di The Shore, awal minggu ini, kami mengambil keputusan untuk membawa hal ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”

Sehingga kini, siasatan masih dilakukan.

Artikel Lain Untuk Di Baca