Walaupun Ahli Keluarganya Sudah Tiada, Lelaki Ini ‘Gembira’ Selepas 19 Tahun Disalah Hukum

David Eastman menghabiskan 19 tahun di penjara bagi kesalahan membunuh seorang pegawai polis kanan yang dia tidak lakukan. Akibat kesilapan tersebut, dia telah diberi pampasan lebih A$7,000,000 (RM19,872,219).

Sumber: AAP

Bekas kakitangan awam tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 1995 berhubung kes pertuduhan bunuh seorang pegawai polis persekutuan Australia iaitu Colin Winchester.

Walaupun telah mengemukakan rayuan beberapa kali, sabitan ke atas David akhirnya dibatalkan pada 2014. Untuk itu, Mahkamah Agung Wilayah Ibu Negara Australia (ACT) telah memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada David.

David memohon pampasan sekurang-kurangnya A$18,000,000 (RM51,075,844) daripada kerajaan ACT di Mahkamah Agung. Terdahulu, David telah menolak bayaran pampasan daripada kerajaan ACT yang berjumlah A$3,800,000 (RM10,771,902) kerana bayaran tersebut akan mengetepikan haknya untuk memohon pampasan dengan jumlah yang lebih besar.

Menerusi undang-undang hak asasi manusia ACT, David boleh menuntut pampasan sekurang-kurangnya A$14,000,000 (RM39,719,988) tetapi jumlah tersebut tidak boleh melebihi A$18,000,000 (RM51,075,844).

Kini berusia 74 tahun, David memberitahu mahkamah bahawa bukan sahaja dia hilang peluang untuk mendirikan keluarga dan meneruskan kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi, tetapi ibu dan adik-adiknya juga meninggal dunia ketika dia berada di penjara.

Mahkamah juga diberitahu David telah menyaksikan pembunuhan semasa penahanannya. Selepas diserang oleh banduan lain pada 2006, dia kini mengalami gangguan penglihatan satu mata.

Peguam Sam Tierney memberitahu pemberita di luar mahkamah di Canberra, anak guamnya ‘sangat gembira’ dengan keputusan tersebut.

Sam berkata, “Sebahagian hidupnya musnah. Sudah pasti dia mempunyai perancangan sendiri tentang apa yang akan dilakukan dengan wang pampasan tersebut.”

Colin telah ditembak mati di luar rumah keluarganya yang terletak di Canberra, Australia pada 1989. Walau bagaimanapun, pembunuh sebenar Colin masih belum dikenal pasti.

Artikel Lain Untuk Di Baca