Waktu Kerja 4 Hari Seminggu? Ini Respons Kerajaan Finland

Baru-baru ini, perancangan kerajaan Finland untuk memperkenalkan waktu bekerja baharu selama empat hari seminggu menjadi tular di laman media sosial.

Ramai warganet menyanjung tinggi usaha murni kerajaan Finland itu dan sebaliknya, isu balik kerja tepat pada waktu pula menjadi bualan ramai selepas ia menjadi tular.

Namun, berita tular itu sebenarnya tidak benar kerana kerajaan Finland tidak pernah mencadangkan waktu bekerja empat hari dalam seminggu seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Image
Sanna Marin

Sebagai respons, jurucakap kerajaan Finland iaitu Paivi Anttikoski berkata bahawa Sanna Marin meluahkan pendapat itu beberapa bulan sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Finland pada Disember.

Jelasnya, “Marin membayangkan idea itu secara ringkas dalam perbincangan panel pada Ogos lalu sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, namun sehingga kini tiada tindakan untuk mendorong inisiatif itu ke hadapan.”

Dipercayai bahawa laporan tidak tepat itu berpunca daripada sebuah artikel yang diterbitkan dalam talian oleh New Europe.

Menurut laporan tersebut, Marin ada membangkitkan isu bekerja enam jam sehari atau empat hari seminggu pada Ogos tahun lalu tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenainya sejak menjadi Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, laporan itu telah dipetik oleh pelbagai portal berita antarabangsa sekali gus menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi umum.

Dalam pada itu, Marin berkata bahawa beliau sentiasa membuka ruang perbincangan untuk isu berkenaan dalam lawatannya ke Sweden pada Rabu lalu.

Marin berkata kepada pemberita bahawa trend pada masa kini menjurus ke arah masa kerja yang lebih singkat.

Jelasnya, “Saya percaya pada masa akan datang, mungkin bukan dalam masa terdekat, penambahbaikan dalam produktiviti dan teknologi akan membantu meningkatkan produktiviti dan membantu pekerja termasuk memungkinkan waktu kerja yang lebih pendek.”

Pasti ramai antara pembaca menyimpan hasrat untuk bekerja di Finland selepas membaca berita mengenai waktu bekerja fleksibel itu, bukan?

Walau bagaimanapun, ia cuma berita palsu sahaja buat masa ini.

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai waktu bekerja, anda boleh klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca