Proton X70 merupakan model kereta yang pertama dihasilkan melalui kerjasama PROTON dan Geely. Perkara ini menarik kerana sebelum ini, kebanyakan model daripada PROTON adalah penjenamaan semula atau ‘rebadge’ daripada kereta keluaran Mitsubishi.
Untuk model kali ini, ia menggunakan reka bentuk asas model kereta ‘Geely Boyue’. Namun begitu, model kereta kali ini adalah asli di bawah kerjasama PROTON dan Geely, maka kereta ini secara rasminya bukanlah ‘rebadge’ daripada syarikat luar.
Pada 12 Disember 2018, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammed telah merasmikan pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Model kereta ini boleh dikatakan memberi nafas baru sebagai kereta nasional. Hal ini demikian kerana Proton X70 telah menunjukkan pelbagai pencapaian yang mengagumkan daripada pelbagai sudut.
Teknologi Terkini Dengan Harga Berpatutan
Kereta ini mempunyai reka bentuk moden dan high-class, netizen juga memberi reaksi positif terhadap reka bentuk Proton X70. Terdapat 4 pilihan kategori bagi SUV Premium pertama PROTON ini iaitu:
- Model Asas Standard 2WD
- Executive 2WD
- Executive AWD
- Premium 2WD
Di samping itu, Proton X70 menggunakan model enjin baharu yang dibangunkan oleh PROTON bersama Ricardo Group dan Lotus. Dua syarikat ini adalah pengeluar enjin terkemuka.
Harga yang ditawarkan bagi Proton X70 adalah sekitar RM99,800-RM123,800. Harga ini dianggap rasional kerana berbaloi dengan teknologi, keselamatan dan prestasi yang telah ditawarkan.
Pada 26 Februari 2019, 9 unit Proton X70 telah melakukan satu jelajah ‘Amazing Trip 2019’. Mereka bertolak dari ibu pejabat PROTON iaitu PROTON’s Centre of Excellence(CoE) ke Tanah Besar China pada hari tersebut. Perjalanan ini berjarak 13,000 kilometer melalui 4 buah negara. Jelajah tersebut telah berjalan selama 33 hari dan kesemua ahli jelajah tersebut selamat pulang semula ke Malaysia.
Sesungguhnya jelajah ini telah membuktikan ketahanan dan prestasi yang terdapat pada Proton X70. Dalam lingkungan harga yang ditawarkan, sememangnya kereta ini amat berbaloi.
Model X70 Berjaya Meningkatkan Keuntungan PROTON
Pada bulan Mac 2019, sebanyak 6,145 kenderaan telah didaftarkan. Hal ini menunjukkan saham pasaran PROTON telah meningkat sebanyak 46.1% berbanding setahun yang lepas pada bulan yang sama.
Statistik ini menunjukkan bahawa model Proton X70 adalah satu kejayaan bagi PROTON. Model ini bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia untuk membeli kereta keluaran PROTON, malah negara lain di rantau Asia Tenggara turut tertarik dengan kereta buatan Malaysia ini.
Indonesia adalah salah satu negara yang bakal mengambil Proton X70 untuk diperkenalkan dalam pasarannya. Namun begitu, kemunculan kereta ini di negara jiran itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.
Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xu menyatakan bahawa ini bukan bermakna PROTON akan mengabaikan pasaran Indonesia. PROTON masih lagi mencari rangkaian pengedar tempatan untuk menembusi pasaran Indonesia.
Prestasi PROTON pada kali ini amat mengagumkan jika dibandingkan dengan pencapaian sebelumnya. Semoga PROTON dapat menggunakan keuntungan tersebut bagi projek yang akan datang. Majulah sektor automotif negara!
Penulis
- Mohamad Faeez Syazwan Ahmad Zawawi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.