Wajah Mirip Dengan Penjaga Gawang Timnas Indonesia, Mark Adam Akui Sengaja Lepaskan Gol

Perlawanan antara Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam berakhir dengan kemenangan 2-0 berpihak kepada Harimau Malaya menerusi dua jaringan daripada Safawi Rasid.

Tirai jaringan dibuka dengan penuh bergaya menerusi sepakan percuma penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pada minit ke-30 perlawanan. Sepakan kaki kiri Safawi dari penjuru kanan kotak penalti gagal diselamatkan oleh Muhammad Ridho yang turun sebagai penjaga gol utama pasukan Indonesia.

Pada minit ke-73, bintang kelahiran Terengganu yang dinobatkan sebagai pemain paling bernilai Liga Malaysia itu sekali lagi menewaskan Ridho menerusi satu rembatan yang cukup padu dari jarak dekat. Jaringan tersebut berpunca daripada gerakan satu-dua dengan Syahmi Safari dari sebelah kanan gawang pasukan Indonesia.

Selain daripada dua jaringan yang membawa kemenangan kepada skuad Harimau Malaya, antara yang menarik perhatian warganet adalah wajah penjaga gol skuad kebangsaan Garuda yang mirip sekali dengan wajah penyanyi terkenal kelahiran Filipina iaitu Mark Adam.

Malah, Mark Adam yang sudah bermaustatin di Malaysia sejak tahun 2001 itu sendiri sempat berseloroh di laman Instagram mengenai wajah beliau yang dikatakan seiras dengan Ridho.

β€œYa, itu betul saya. Saya bagi bola masuk untuk Harimau Malaya. Tahniah,” coret Mark Adam yang juga merupakan seorang pelawak dan pelakon.

Untuk rekod, pertembungan malam tadi merupakan penampilan ketiga Ridho bersama timnas Indonesia.

Artikel Lain Untuk Di Baca