Vivy Yusof Tampil Mohon Maaf Secara Terbuka

Usahawan terkenal iaitu Datin Vivy Yusof yang terpalit dengan beberapa isu tampil menafikan yang dia mengeluarkan kenyataan mempertikaikan langkah kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40 dan M40 seperti yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

Tampil memberi penjelasan menerusi Instagram (IG) tv, Vivy mengatakan dia tidak pernah terfikir mengeluarkan kenyataan seperti itu, malah tidak menyangka orang ramai mempercayai perkara itu.

“Perkara ini timbul dalam siaran langsung Facebook (FB) Live, bukan FB saya. Saya tiada akaun FB, tetapi saya menonton live itu.

“Saya tidak mempertikaikan pemberian bantuan kepada golongan berkenaan seperti yang didakwa. Sebaliknya, saya bimbang nasib akan menimpa ahli perniagaan dan pekerja disebabkan kelembapan ekonomi.

“Selain itu, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan golongan berkenaan tidak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi FB Live itu,” katanya menerusi video IG tv.

Vivy turut memohon maaf secara terbuka kepada golongan B40 dan M40 yang tersinggung dengan kenyataannya.

Beliau berkata lagi bahawa kecaman yang dilemparkan kepadanya agak keterlaluan sejak beberapa hari yang lalu.

“Ibu bapa dan suami terkesan dengan kecaman warganet. Ia amat berat untuk ditanggung kerana dikecam pada peringkat nasional.

“Saya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan dan melancarkan petisyen minta saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM),” tegas Vivy.

Menurutnya, dia tidak pernah sesekali pun memandang rendah kepada golongan B40 dan M40 seperti didakwa warganet. Malah, dia tidak akan mengambil tahu nasib golongan berkenaan jika tidak menyayangi mereka.

“Saya tak akan ambil peduli atau menghulurkan bantuan sekiranya memandang rendah kepada golongan ini. Saya juga tidak akan mewujudkan tabung untuk mereka.

“Saya risau dan mengambil berat mengenai nasib mereka dalam keadaan sekarang. Mungkin kesilapan datang daripada saya.

“Saya banyak bermuhasabah sepanjang tiga hari ini. Saya akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi dalam media sosial,” ujarnya.

Vivy menyatakan bahawa insiden ini merupakan dugaan dan pengajaran terbesar buatnya.

“Cuma agak kecewa kerana warganet mempercayai tanpa memeriksa kesahihan fakta sebelum berkongsi dengan meluas dan mengulang ciap di laman Twitter. Tidak pasal mereka mengutip dosa.

“Saya pernah melakukan perkara sama apabila tidak memeriksa fakta sebelum berkongsi di laman sosial. Sejak itu, saya akan lebih berhati-hati,” kata Vivy lagi.

Walaupun dihentam teruk, Vivy menyatakan bahawa dia akan bangkit dengan semangat baharu. Lebih-lebih lagi, masih banyak pihak masih mempercayai dan memberikan semangat buatnya.

Apa-apa pun semoga perkara sebegini tidak terjadi lagi pada masa akan datang dan semua pihak perlu mengambil iktibar darpada isu ini. Pada waktu ini, sebaiknya kita fokus untuk bekerjasama dalam membendung penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak. Diharapkan semua sentiasa patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan dan terus menjaga kebersihan diri.

Untuk baca artikel lain tentang Vivy Yusof, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca