Virus Selesema Babi Dikesan Pada Ternakan – Jabatan Veterinar

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menemui sampel yang seropositif virus Swine Influenza H1N1 (SIV H1N1) atau selsema babi pada ternakan babi komersial dan babi hutan menerusi program survelan kebangsaan yang dijalankan.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, jabatan itu memaklumkan bahawa ternakan babi yang seropositif itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit serta tidak berisiko untuk menyebarkan jangkitan terhadap manusia.

Sumber: Wikipedia

“Keputusan ujian bagi virus novel 2009 H1N1 pandemic (H1N1 pdm09 ) adalah negatif terhadap semua sampel berkaitan,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui DVS dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia telah mengambil inisiatif pencegahan penyakit rentas sempadan daripada memasuki negara dengan melaksanakan pelbagai aktiviti.

Antaranya termasuklah meneruskan larangan pengimportan babi dan produk babi dari negara terjangkit dan berisiko dijangkiti, aktiviti pencegahan di pintu masuk utama negara yang membabitkan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas babi serta produk babi dari negara berisiko.

Sumber: The Pig Site

Selain itu, kempen kesedaran awam kepada penternak mengenai penyakit babi turut dilaksanakan di semua negeri dan para penternak diminta untuk meningkatkan biosekuriti ladang melalui tindakan pencegahan seperti tidak melawat ladang yang terjangkit.

Menurut kenyataan itu lagi, survelan klinikal dan pensampelan terus dijalankan di semua ladang babi komersial dan babi hutan termasuk di pintu masuk negara yang mana sampel diambil akan diuji di makmal DVS.

“Jika terdapat sampel positif, ujian lanjut untuk menentukan strain H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1 akan dijalankan selain pihak kementerian akan bertindak menyelaras dengan pelbagai agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa berkaitan bagi memperkemaskan aspek kawalan bersepadu bagi menghalang kemasukan/penularan penyakit itu,” kata kenyataan itu.

Pada masa yang sama, kenyataan itu menyebut industri babi di Malaysia ketika ini mempunyai populasi sebanyak 1,748,547 ekor bernilai RM5 bilion yang diternak di 614 ladang komersial melibatkan kira-kira 5,000 pekerja yang terbabit secara langsung dalam industri ternakan babi.

Untuk rekod, SIV H1N1 merupakan virus avian influenza yang beradaptasi dan bermutasi menjadi virus babi dan terdapat tiga strain H1N1 yang telah dikenal pasti iaitu SIV H1N1, H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1.

SIV H1N1 selalunya ditemukan pada babi dan sangat endemik dalam kalangan negara pengeluar babi di dunia seperti Amerika, Mexico, dan China yang menyebabkan jangkitan dengan kadar morbiditi tinggi tetapi kematian rendah.

Pada tahun 2009, virus influenza swine subtip yang baharu iaitu novel 2009 H1N1 Pandemic (H1N1pdm09 virus) dijumpai pada manusia di Mexico tetapi ia dianggap masih kurang berbahaya kerana mampu dikawal dengan pemberian vaksin selesema bermusim H1N1 pada manusia berbanding G4 EA H1N1 yang bersifat lebih patogenik dan berbahaya serta tidak boleh dicegah melalui vaksin sedia ada.

Untuk baca artikel lain tentang wabak-wabak paling dahsyat dalam sejarah manusia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca