Wanita Ini Terselamat Dalam Insiden Kapal Karam Titanic Dan 2 Pelayaran Lain

Sekitar tahun 1900 merupakan waktu yang sangat buruk buat syarikat perkapalan White Star Line. Namun, sebaliknya yang terjadi kepada Violet Jessop selepas dia terselamat daripada kejadian kapal karam terkenal RMS Titanic dan dua pelayaran lain.

Violet Jessop mengelak kematian

Daripada hari pertama Violet dilahirkan ke dunia, dia sudah boleh dianggap sebagai seorang yang kental. Hal ini adalah kerana dalam kesembilan anak yang dilahirkan ibunya, Violet berjaya menjadi antara enam cahaya mata yang hidup sehingga mencecah usia tua.

Tidak cukup dengan itu, Violet juga pernah didiagnos dengan penyakit Tuberkulosis atau TB. Meskipun doktor menganggarkan dia tidak akan hidup lama, Violet berjaya membuktikan sebaliknya.

Kapal pertama: RMS Olympic

Violet pertama kali terlibat dalam kemalangan kapal pelayaran pada tahun 1910. Ketika itu, dia sudah bekerja sebagai seorang pramugari bersama syarikat perkapalan Royal Mail Line selama dua tahun.

Berkemungkinan mahu bertukar angin, Violet memilih untuk menerima tawaran kerja di atas sebuah kapal persiaran mewah besar paling besar ketika itu yang dikenali sebagai RMS Olympic.

Insiden mula berlaku pada musim luruh tahun 1911, kapal RMS Olympic yang sudah meninggalkan pelabuhan di Southampton dilaporkan telah bertembung dengan sebuah kapal perang milik pihak British iaitu HMS Hawke.

Meskipun rosak teruk, kapal RMS Olympic berjaya kembali ke pelabuhan tanpa tenggelam di tengah lautan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Kapal kedua: RMS Titanic

Usai kemalangan itu, kebanyakan orang menyangka Violet akan segera meninggalkan kariernya di lautan. Namun begitu, wanita berkenaan kembali bekerja hanya tujuh bulan selepas itu. Kali ini, lokasi pekerjaan Violet adalah kapal persiaran yang didakwa tidak akan tenggelam iaitu RMS Titanic.

Violet memulakan kerjanya sebagai seorang pramugari di atas kapal RMS Titanic empat hari sebelum insiden terkenal pelayan berkenaan.

Menerusi catatan di dalam diarinya, Violet menyatakan ketika hari Titanic tenggelam, dia dijadikan contoh untuk menerangkan kepada penumpang kapal yang tidak boleh berbahasa Inggeris supaya mereka boleh memahami arahan yang diberikan.

“Saya diarahkan untuk naik ke dek. Ketika saya berdiri di bulkhead bersama pramugari lain, saya melihat para isteri memeluk suami mereka sebelum mereka menaiki bot penyelamat bersama golongan kanak-kanak,” tulis Violet.

“Selepas beberapa ketika, seorang pegawai kapal mengarahkan kami untuk naik ke bot penyelamat dahulu untuk meyakinkan penumpang wanita lain bahawa keadaannya selamat.”

Tulis Violet lagi, selepas memastikan bot-bot penyelamat penuh, barulah dia dan kakitangan RMS Titanic yang lain menyelamatkan diri.

Menurut catatan di dalam diari Violet, dia dan individu lain menghabiskan masa satu malam yang sangat sejuk di atas bot penyelamat sebelum mereka diselamatkan sebuah kapal lain iaitu RMS Carpathia.

Kapal ketiga: HMHS Britannic

Meskipun sekali lagi Violet mengalami sendiri kejadian kapal karam, semangat wanita itu langsung tidak goyah.

Pada tahun 1916 iaitu ketika Perang Dunia Pertama, syarikat perkapalan White Star Line telah menukarkan beberapa kapal milik mereka kepada sebuah hospital.

HMHS Britannic merupakan salah satu daripada kapal yang ditukarkan menjadi hospital itu dan Violet sekali lagi memikul tanggungjawab sebagai pramugari mewakili British Red Cross dalam pelayaran terbabit.

Pada pagi 21 November 1916, HMHS Britannic dilaporkan tenggelam susulan satu letupan misteri yang tidak dapat dipastikan puncanya sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa British percaya kapal berkenaan mungkin dibedil torpedo atau terlanggar periuk api yang ditanam oleh pasukan Jerman.

Menerusi catatan di dalam diarinya, Violet telah menggambarkan bagaimana situasi ketika HMHS Britannic tenggelam ditelan lautan.

“Kebanggaan dunia perubatan di atas laut itu semakin lama semakin hilang. Dia (HMHS Britannic) kemudiannya tenggelam dengan satu bunyi raungan yang kuat sebelum akhirnya hilang dalam kegelapan.”

Menurut laporan, HMHS Britannic mengambil masa 57 minit untuk tenggelam sepenuhnya. Kemalangan tersebut telah meragut 30 nyawa malah, Violet juga dikatakan hampir menjadi korbannya.

“Ketika HMHS Britannic mula tenggelam, kipas kapal masing berpusing menyebabkan bot-bot penyelamat disedut ke dalam air,” tulis Violet di dalam diarinya.

“Saya melompat keluar dari bot untuk menyelamatkan diri. Namun, saya mengalami kecederaan di kepala semasa proses itu.”

Jelas Violet lagi di dalam diarinya, kecederaan yang dialami pada hari itu berkekalan dengannya buat satu jangka masa yang lama. Akhirnya, wanita berkenaan mengunjungi seorang doktor selepas mengalami sakit kepala yang kerap.

“Saya pergi menemui doktor saya selepas sakit kepala yang terlalu kerap. Doktor itu akhirnya mendedahkan saya sebenarnya pernah mengalami keretakan pada tengkorak!” tulis Violet lagi.

Violet Jessop, Wanita yang Tidak Akan Tenggelam

Selepas berjaya mengharungi tiga kemalangan melibatkan kapal, ramai orang dapat mengagak bahawa Violet Jessop akan bersara daripada kehidupannya di laut.

Walau bagaimanapun, wanita itu sekali lagi menggemparkan dunia selepas bekerja semula dengan syarikat perkapalan White Star Line pada tahun 1920 selepas berehat buat masa yang lama.

Sepanjang kariernya di lautan, Violet Jessop telah berjaya mengelilingi dunia sebanyak dua kali sebelum akhirnya mengumumkan persaraannya.

Violet yang diberi jolokan nama Wanita yang Tidak Akan Tenggelam itu tinggal di Great Ashfield, Suffolk sebelum meninggal dunia pada usia 83 tahun pada tahun 1971.

Untuk membaca artikel lain berkaitan individu menakjubkan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca