Vila Berhantu Ini Telah Menyaksikan Banyak Kejadian Bunuh Diri

Berhampiran Air Terjun Tequendama dalam hutan di Colombia ini, terdapat sebuah rumah agam masih berdiri teguh di pinggir jurang bukit berhadapan Sungai Bogota.

Rumah agam bercirikan seni bina Eropah itu pernah terbiar selama berpuluh tahun dimamah hutan.

Sejarah rumah agam ini

Sumber: Wikipedia

Rumah ini dibina pada tahun 1923 untuk kediaman Carlos Arturo Tapias, seorang arkitek terkenal. Pada ketika itu, gaya seni bina Perancis dan tingkap tinggi pada rumah ini dibina sebagai simbol elegan dan elit.

Selepas itu, bangunan ini diubahsuai menjadi hotel pada tahun 1928 untuk pelancong-pelancong kaya yang datang melawat kawasan Air Terjun Tequendama. Hotel bernama Hotel Del Salto ini mendapat sambutan dan terus beroperasi sehingga 60 tahun kemudian.

Pada tahun 1950, bangunan ini sepatutnya dibina semula untuk menjadi hotel 18 tingkat tapi tak jadi sebab Sungai Bogota telah tercemar dengan teruk dan busuk yang menyebabkan para pelancong mula hilang minat untuk bercuti ke kawasan itu.

Akhirnya, hotel tersebut ditutup pada sekitar tahun 1990-an dan ditinggalkan tebiar begitu saja.

Hotel berhantu

Sumber: FB That’s Interesting

Ramai yang menyatakan bahawa hotel ini berhantu kerana menjadi ‘lokasi panas’ untuk orang bunuh diri.

Selain itu, masyarakat tempatan juga percaya bahawa roh penduduk zaman silam berkeliaran di kawasan sekitar air terjun itu.

Menurut cerita legenda tempatan, ramai penduduk peribumi kaum Muisca terjun dari Air Terjun Tequendama untuk mengelakkan diri daripada ditangkap penjajah Sepanyol yang merampas banyak kawasan Amerika Selatan ketika itu.

Mereka pasti roh mereka akan bertukar menjadi burung helang dan terbang bebas jika terjun dari situ. Cerita mitos ini telah menarik ramai orang yang patah hati untuk terjun daripada jurang hotel tersebut yang menghadap air terjun itu.

Menjadi Muzium Alam Semula Jadi

Pada tahun 2011, pihak yayasan dan universiti di Colombia mula menjalankan usaha untuk membaik pulih bangunan itu dan menjadikannya sebagai muzium warisan, budaya dan alam semula jadi. Walaupun sudah menjadi muzium, nama Hotel Del Salto tetap meniti di bibir orang ramai.

Sejak itu, kawasan itu mendapat perhatian semula dan menjadi daya tarikan pelancong di Bogota, Colombia.

 

Artikel Lain Untuk Di Baca