[Video] Tuan Rumah Balun 4 Perompak Terima Pujian Orang Ramai

Seorang lelaki di United Kingdom menerima pujian ramai atas keberaniannya melawan empat orang perompak yang memecah masuk kediamannya di Bamford, Greater Manchester. Adegan tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular di media sosial.

Mangsa, Asif Ali yang merupakan ejen hartanah berusia 35 tahun dilihat meluru ke pintu masuk rumahnya untuk berdepan dengan seorang individu bertopeng berpakaian serba hitam.

Menurut Asif, gerak hatinya segera bertindak dan satu pergaduhan tercetus antara dia dan penceroboh. Rakaman CCTV menunjukkan Asif berjaya menumbuk suspek berkali-kali sebelum mereka disertai dua individu lain yang turut berpakaian serba hitam dan bertopeng. Namun, Asif berjaya menolak ketiga-tiga mereka keluar dari rumahnya.

Seakan tidak mahu menyerah kalah, salah seorang perompak telah masuk semula ke dalam rumah dengan membawa senjata yang didakwa polis merupakan pemutar skru.

Asif dilihat segera berlari keluar dari kamera sebelum kembali dengan sebilah pisau dan mengejar mereka sehingga ke luar rumah. Mangsa turut ternampak seorang lagi individu bertopeng di luar rumahnya menjadikan jumlah kesemua suspek adalah empat orang.

Semasa kejadian yang berlaku pada jam 9.15 malam waktu tempatan, isteri mangsa, Charlotte sedang tidur di tingkat atas. Menyedari kejadian tersebut, wanita itu turut bertindak dengan menghubungi pihak berkuasa.

Polis telah mengesahkan bahawa laporan berkaitan kes tersebut sudah diterima dan siasatan kini dijalankan.

Asif telah menawarkan ganjaran berjumlah RM25,889 kepada mana-mana pihak yang berjaya mengesan penjenayah terbabit.

Artikel Lain Untuk Di Baca