[Video] Sempat Tinggalkan Mesej Selamat Tinggal, Ibu Ini Meraung Lepas Tengok Mayat Anak Bunuh Diri

Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak mereka berada dalam keadaan menyedihkan.

Begitulah nasib seorang wanita tua apabila lawatannya ke tempat kerja anaknya berakhir tragedi apabila dia melihat sendiri mayat cahaya matanya yang bertindak terjun dari bangunan pusat membeli belah Klang Parade.

Menurut laporan China Press, mangsa yang dikenali sebagai Khoo, 26, bekerja sebagai setiausaha di sebuah restoran. Wanita berkenaan dikatakan mempunyai pelbagai masalah kewangan dan sudah meminta bantuan seorang pekerja sosial untuk membantunya menyelesaikan perkara itu.

Difahamkan, pekerja sosial yang bernama Peter itu sudah berjaya berbincang dengan tiga orang Ah Long yang wang mereka telah dipinjam Khoo.

Melalui bantuan Peter dan ibu Khoo, masalah kewangan wanita itu akhirnya berjaya diselesaikan pada minggu lalu. Peter juga memaklumkan kepada pihak polis bahawa pada malam sebelum kejadian bunuh diri itu, dia ada menasihati Khoo supaya tidak lagi meminjam wang daripada Ah Long.

Walau bagaimanapun, Peter tidak menyangka dia akan mendapat pengkhabaran mengenai Khoo yang sudah membunuh diri dengan bertindak terjun daripada bangunan pusat beli belah Klang Parade pada tengah hari semalam.

Tambah menyedihkan apabila selepas Khoo membunuh diri, ibunya tiba di Klang Parade untuk melawatnya.

Satu rakaman video menunjukkan ibu Khoo terduduk di bahu jalan sambil meraung mempersoalkan tindakan anaknya yang sudah mengambil nyawa sendiri.

Difahamkan, sebelum Khoo bertindak terjun daripada bangunan terbabit, dia sempat menulis mesej selamat tinggal pada akaun Facebooknya.

“Kepada kawan-kawan dan keluarga, saya sudah tiada. Hidup saya dipenuhi kegagalan. Saya sudah melakukan terlalu banyak perkara yang salah dan telah menyakiti terlalu ramai orang yang mengambil berat dan sayangkan diri saya,” ujar Khoo dalam penulisannya.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu bersemuka dengan semua. Jadi, saya memilih untuk mengelak daripada semua. Saya minta maaf. Saya lemah.”

“Saya tidak pernah memberi ibu bapa saya kehidupan yang baik semenjak 26 tahun yang lalu. Saya hanya membuat masalah berulang kali sehingga mereka terpaksa membantu saya menyelesaikannya.”

“Terima kasih kepada rakan-rakan dan keluarga yang membantu saat saya susah. Terima kasih kepada semua. Saya cuma berharap saya akan menjadi anak yang baik pada kehidupan akan datang.”

“Selamat tinggal, kawan-kawan dan keluarga. Saya akan jumpa anda nanti.”

Salam takziah penulis ucapkan kepada keluarga Khoo. Moga mereka bertabah menghadapi dugaan ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca