Rakaman sekumpulan pelajar yang masih mengenakan pakaian seragam sekolah sedang ‘meraikan’ hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebatang jalan dekat Melaka menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet.

Difahamkan, mereka bertindak menunggang motosikal secara melulu di beberapa kawasan termasuklah di sekitar laluan utama pesisir Pantai Klebang, Pantai Puteri dan Bandar Hilir.

Tidak cukup dengan mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada motosikal yang ditunggang, kumpulan yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan itu dikatakan turut menunjukkan lagak ‘samseng’ dengan melakukan pelbagai aksi di atas jalan raya. Tindakan mereka itu menyebabkan pengguna jalan raya lain terpaksa beralah dan memberi laluan kepada mereka.

Memetik laporan Astro Awani, pelajar-pelajar terbabit dikatakan saling merakam aksi ngeri masing-masing selain ada yang merokok secara terang-terangan di kawasan awam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri iaitu Hassan Basri Yahya, pihaknya telah mengeluarkan 17 saman kepada 17 pelajar lepasan SPM itu atas pelbagai kesalahan selepas menerima aduan daripada orang ramai. Antara kesalahan yang dilakukan mereka termasuklah tiada lesen memandu, cukai perjalanan yang tamat tempoh dan ubah suai kenderaan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Astro Awani