[Video] “Saya Menyesal”, YouTuber Alief Irfan Sudah Insaf?

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan YouTuber terkenal tanah air, Alief Irfan. Selebriti media sosial yang satu ini pernah terpalit dengan satu kontroversi terbaharu mengenai watak ‘Cikgu Suraya’ dalam video bertajuk Special Unforce.

Tidak dinafikan, nama Alief Irfan ketika itu sememangnya menjadi sebutan dan bualan ramai sehinggakan menerima pelbagai kecaman masyarakat. Bagaimanapun, YouTuber ini tetap tenang dan sama sekali tidak melenting akan semua tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Malahan, baru-baru ini, beliau dilihat terlibat dalam sesi perbincangan dan temu bual bersama YouTuber MrKokom.

Anak jati Kelantan ini ternyata bukan berasal daripada keluarga yang senang. Sesi perbualan tersebut juga mendedahkan perihal keluarga Alief Irfan. Sebagai anak sulung, dia berusaha keras bagi menanggungi ibu dan empat orang adiknya.

Pemuda ini juga sempat memanjatkan rasa syukurnya berikutan kejayaan yang diraih menerusi kerjaya di media sosial sehingga menjadikannya mampu dan berkeupayaan dalam memmbantu keluarga tersayang.

Menyentuh tentang isu video Special Unforce, pembikinan jalan cerita perang itu sebenarnya sama sekali tidak bertujuan untuk menekankan kehadiran watak Cikgu Suraya.

Bahkan, penghasilan storyboard video berkenaan juga mengambil masa hampir satu bulan lamanya. Oleh kerana niatnya yang ingin memasukkan elemen plot twist dalam cerita tersebut, beliau dan rakan sepasukannya cuba untuk menggunakan watak Cikgu Suraya kepada serangan pengganas.

Setelah video tersebut siap disunting, Alief Irfan masih berfikir lama sama ada mahu memuat naik video berkenaan atau tidak.

Jelasnya, “Bila sudah siap video itu, kami simpan agak lama. Alief sendiri mengaku apabila tonton sahaja video tersebut, Alief rasa macam it’s not me. Sebab itu video tersebut Alief hold beberapa lama.”

Setelah menerima kecaman demi kecaman, kini, Alief berasa kesal dengan tindakannya yang telah memuat naik video tersebut.

Namun, lama kelamaan, pemuda ini mulai sedar bahawa kebanyakan genre videonya memberikan sudut pandang negatif kepada penonton. Lebih-lebih lagi, kebanyakan khalayak penonton terdiri daripada golongan anak muda.

“Jadi, saya betul-betul minta maaf kepada semua rakyat Malaysia,” ujar Alief Irfan.

Lebih mengharukan apabila keinsafan dan kekesalan yang dialami oleh YouTuber ini sebenarnya berpunca daripada kenyataan yang diucapkan oleh seorang penyokong dan peminatnya.

Remaja itu berkata, “Saya minta maaf. Tetapi saya memang minat Abang Alief. Saya suka tonton video Abang Alief. Tetapi saya minta maaf sebab ibu saya tak bagi tonton video abang. Jadi, saya kena ikut cakap ibu saya.”

Jelasnya lagi, “Saya harap abang Alief boleh buat video yang baik-baik supaya ibu saya beri izin untuk tonton video abang lagi.”

Bagaikan keajaiban, menerusi satu luahan seorang remaja sahaja, Alief terus menjadi tersentuh dan kembali muhasabah akan kesilapan yang dilakukan. Kini, Alief dikatakan telah pun memadam video-video berkenaan. Susulan daripada perkongsian ini, rata-rata warganet memberikan komentar positif kepada beliau.

Tahniah diucapkan kepada Alief Irfan. Semoga terus berjaya di dunia mahupun di akhirat.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca