[Video] Rezeki Pencari Besi Buruk Terjejas Akibat PKP, Hanya Ada 2 Ekor Ikan Sebagai Bekalan Makanan

Emilia Abdullah, 47, yang bekerja sebagai pencari besi buruk dan barang terpakai adalah antara individu yang sangat terjejas sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana terputus mata pencariannya.

Dia kini menetap di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kota Bharu bersama suami, Nik Yusri Nik Abu Bakar, 48, dan dua anaknya, Nik Mohd Haikal, 12 serta Nik Mohd Firdaus, 20, yang terlantar akibat lemah saraf sejak tiga tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, mereka sekeluarga hanya memiliki dua ekor ikan selayang untuk dinikmati pada malam ini. Untuk hari seterusnya, dia hanya mampu berserah.

Menurut Emilia, sebelum PKP dilaksanakan, hidup mereka sudah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana secara purata dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM15 sehari.

“Saya akan menunggang motosikal roda tiga di sekitar Sering, untuk mencari besi buruk dan barang terpakai di tong sampah sebelum dibawa pulang untuk dipilih dan dijual ke kedai besi buruk.

“Suami yang sakit darah tinggi dan kencing manis menjaga anak, Nik Mohd Firdaus yang terlantar di rumah.

“Apabila rakyat dilarang keluar (PKP), saya pun tidak berani untuk keluar mencari besi buruk kerana takut ditangkap,” jelasnya.

Katanya, setiap hari mereka akan makan nasi sekali atau dua kali sehari bergantung kepada lauk dan beras yang masih ada.

“Biasanya sarapan kami hanya makan biskut atau lempeng sahaja sekadar mengalas perut namun bagi anak yang sakit terlantar, keperluan makanannya tidak boleh terlalu dicatu kerana fizikalnya kini pun sudah sangat kurus.”

Selain untuk makan seharian, mereka juga buntu bagaimana untuk mencari wang bagi pembelian ubat dan lampin pakai buang untuk Nik Mohd Firdaus.

Sepanjang PKP berlangsung, Emilia hanya mengharapkan ihsan jiran tetangga dan saudara mara yang menghulurkan bantuan makanan untuk kelangsungan hidup mereka empat beranak.

Kadang-kadang kita selalu rasa hidup kita ini sudah cukup susah. Hakikatnya, masih ada yang jauh lebih susah dan lebih memerlukan bantuan. Semoga kisah ini dapat membuka mata kita agar menjadi insan yang lebih bersyukur.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca