[Video] Realiti Sisi Gelap Industri Hiburan K-Pop, Jung Joon-Young Dan Choi Jong-Hoon Kini Dihukum Penjara

Berita tentang tiga selebriti dari Korea Selatan ini pastinya sudah berada dalam pengetahuan dan minda masing-masing.

Lebih-lebih lagi, ramai di antara pembaca yang amat meminati industri hiburan K-pop. Sejak tersebarnya berita mengenai Seungri yang pernah digelar sebagai ‘bapa ayam’, terdapat lagi dua kes hitam yang secara tidak langsung mendedahkan penglibatan dua artis terkenal Korea.

Selain daripada Seungri, Jung Joon-Young pada bulan Mac lalu pernah mengaku bersalah atas tindakannya yang merogol, merakam dan menyebarkan rakaman seks ke seluruh laman media sosial.

Terkini, pihak Mahkamah Korea Selatan telah pun menetapkan dan menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas Jung Joon-Young akibat perbuatan tersebut. Pelaku berusia 30 tahun ini sememangnya popular menerusi rancangan televisyen Two Days One Night.

Sementara itu, bekas anggota penyanyi berkumpulan Korea iaitu FT Island juga dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan yang sama.

Penyanyi yang dikenali sebagai Choi Jong-Hoon, 30 tahun dan Jung Joon-Young ternyata merupakan ahli kumpulan sembang atas talian yang giat menyebarkan rakaman atau video seks kepada para anggota lainnya.

Menerusi pernyataan pihak mahkamah, siasatan terhadap perbualan kedua-dua selebriti bersama anggota kumpulan gelap itu didapati menjadikan wanita sebagai objek seks dan bahan jenaka.

Perbuatan itu ternyata dikategorikan sebagai kesalahan yang amat serius. Bagaimanapun, identiti mangsa tidak didedahkan bertujuan untuk melindungi hal keperibadian mereka.

Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga telah mengarahkan agar kedua-dua pesalah menyertai atau menjalani pendidikan rawatan keganasan seksual selama 80 jam.

Jelas Hakim Kang Seong-Soo, hukuman tersebut adalah mutlak dan tidak dapat dielakkan atau dipertimbangkan lagi memandangkan kesemua mangsa menuntut hukuman yang berat terhadap pelaku.

Kes yang melibatkan kedua-dua selebriti ini merupakan antara jenayah seks dan aktiviti haram yang mendedahkan sisi gelap industri di tengah-tengah kegilaan masyarakat dunia terhadap K-pop.

Apa-apa pun, yang baik hendaklah dijadikan tauladan manakala yang buruk kita jadikan sempadan.

Artikel Lain Untuk Di Baca