[Video] Rakaman Insiden Pesawat Ukraine Ditembak Jatuh Iran Tular

Satu video memaparkan insiden pesawat jatuh terhempas dipercayai pesawat penumpang milik Ukraine yang telah meragut 176 nyawa menjadi tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Rakaman berdurasi 45 saat yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman Twitter iaitu @IranianPatriot berjaya mencuri perhatian warganet terutamanya warga Iran.

Video yang mencatat lebih 100,000 tontonan (semasa artikel ini ditulis) itu memaparkan sebuah objek besar dengan api yang marak menjunam jatuh secara perlahan ke bumi sebelum ia terhempas sehingga menyebabkan letupan besar berlaku.

Memetik laporan Astro Awani, pegawai keselamatan tertinggi Ukraine mendakwa bahawa siasatan mendapati peluru berpandu telah disasarkan di bahagian bawah kokpit pesawat Ukraine Airlines penerbangan Boeing 737-800 itu dari darat dan ia sekali gus membunuh juruterbang secara serta-merta.

Oleksiy Danilov.

Menurut Setiausaha Pertahanan dan Keselamatan Negara Ukraine iaitu Oleksiy Danilov, beberapa imej dan video yang diambil di tempat kejadian oleh pegawai penyiasat Ukraine di Iran menguatkan lagi teori kemalangan berkenaan.

“Ia telah disasarkan di bahagian kokpit dari bawah. Kami fikir ini adalah bukti dan punca nahas,” kata Danilov kepada BBC.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa foto yang menujukkan kewujudan serpihan peluru berpandu yang dipercayai menjadi punca pesawat malang itu terhempas.

“Kami percaya ia adalah serpihan peluru berpandu,” ujar Danilov.

“Segala penemuan telah dikumpulkan sebelum kerajaan Iran mengaku bertanggungjawab dalam insiden tembak jatuh pesawat penumpang berkenaan.”

“Sebaik sahaja kerajaan Iran memberikan kami akses kepada barang-barang ini, pakar kami diarah membuat kemas kini setiap jam mengenai apa yang berlaku dan kami berhasil mengumpulkan maklumat dengan cepat serta merungkai apa yang berlaku,” katanya lagi.

Tambah Danilov, kesemua butiran berkenaan insiden itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai memandangkan siasatan masih perlu dijalankan secara terperinci.

“Kita tidak boleh membuat pengumuman (bukti) secara terbuka dan kita masih perlu bekerja keras di sana.”

“Iran adalah negara yang sangat ketat dan seperti yang anda tahu, kami bimbang mereka boleh menghantar pulang pakar kami kembali.”

“Saya fikir Iran mula memahami bahawa mereka tidak mempunyai pilihan (tetapi mengakui kesalahan untuk kemalangan itu).”

“Walaupun mereka cuba menghalang, kami sudah cukup (bukti) untuk menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa apa yang sebenarnya berlaku di sini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Iran menyatakan bahawa punca kemalangan tersebut mungkin disebabkan oleh kesilapan teknikal sebelum pesawat itu disahkan ditembak jatuh.

Untuk baca artikel lain berkenaan insiden pesawat Ukraine, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca