[Video] Rakaman Dron Ini Pasti Buatkan Anda Terpesona Dengan Panorama Memukau Danau Toba

Semua pasti teruja apabila berdiri di atas puncak bukit sambil menikmati pemandangan ketika matahari sedang terbit atau terbenam dengan rasa penuh kesyukuran. Tetapi kebanyakkan pemandangan seperti itu, hanya boleh didapati apabila kita berada di negara-negara yang cantik dan jauh contohnya seperti di Australia atau New Zealand.

Namun, harapan akan tinggal harapan apabila melibatkan kos perjalanan yang sangat tinggi untuk sampai ke sana lalu kecewa dan tunda trip pada tarikh yang masih tidak pasti. Kesiankan? Jadi, saya nak kongsikan trip dan kos untuk ke Sumatera Utara atau lebih spesifik adalah di Danau Toba (Lake Toba).

Tiket pulang Air Asia untuk 2 orang – RM212
Bagasi – 0kg sebab backpack.
Makanan dalam penerbangan – penerbangan jarak dekat, sarapan siap-siap di lapangan terbang
Masa penerbangan – lebih kurang 1 jam

Hari Pertama

Mendarat di Lapangan Terbang Silangit, kira-kira 2 jam dari Bandar Parapat.

Tiada bas dari lapangan terbang ke Parapat dan yang ada hanyalah angkut-angkut atau avanza yang perlu kongsi dengan orang lain. Kos lebih kurang RP100k (RM29.50)/pax atau RP400k (RM117.90)/kereta. Dalam perjalanan itu, boleh singgah di pekan berdekatan dengan pantai Bul Bul untuk beli kad sim 6.5 giga dengan hanya RP65k (Rm19.20).

Teruskan perjalanan ke Parapat menuju ke Jeti Tiga Raja sebab nak kejar bot ke Tuk Tuk, Pulau Samosir.

Bot penumpang akan datang setiap sejam sekali, jadi kami sampai pukul 1.30 petang dan bot baru jalan. Boat seterusnya pada pukul 2.30 petang, jadi kami ada 1 jam untuk jalan-jalan di situ. Ada banyak rumah makanan muslim di jeti Tiga Raja. Makan tenggah hari dalam RP2500/lauk (RM0.74).

Bot penumpang RP20k/pax (RM5.90), kalau baca review atau blog ada yang harga RP15k/pax (RM 4.42), senang cerita ikut mood tekong bot dan tukang jaga.

Malam pertama kami check in di Toba Village Hotel, harga dalam 450k/malam (RM132.60). Bilik best tetapi tidak dapat pemandangan yang berhadapan tasik cuma berhadapan gunung dan disediakan Wifi.

Lepas dah siap mengemas, kami terus sewa motor. Motor di sini, sewa kalau per jam dalam RP30k (RM8.80) tapi kalau sewa sehari atau 8 jam dalam RP120k (RM35.40), termasuk minyak motor penuh.

Kami cari Bukit Beta sebab boleh tengok pemandangan dari atas yang berhadapan tasik dan gunung. Tiba-tiba hujan turun, kemudian kami berteduh dan singgah makan di sebuah kafe halal iaiu ELTona. Kami makan sampai kenyang sebab tak boleh tahan tengok risol, roti bakar nutella, jus alpokat dengan mocha coffee. Kos dalam RP93K (RM27.40).

Kemudian, kami sambung cari perhentian seterusnya iaitu Bukit Tanjungan. Dalam 15 minit pusing-pusing di kawasan itu tapi tak jumpa jalan masuk. Haripun dah bertambah gelap dan makin sejuk. Jadi, kami buat keputusan untuk patah balik dan kembali esok untuk cari Bukit Tanjungan.

Kawasan Danau Toba sejuk dan boleh dikatakan semua bilik dan hotel tak ada penghawa dingin atau kipas. Bila malam, memang seronok tidur ala-ala di Cameron Highland.

Kos Hari Pertama
Angkut-angkut dari Lapangan Terbang Silangit ke Parapat -200k (RM58.90)
Kad Sim – 65k (RM19.20)
Makan Tengah hari – 28k (RM8.25)
Bot Penumpang – 40k (RM11.80)
Bilik Hotel – 450k (RM132.60)
Speda Motor (motor) – 120k (RM35.36)
Makan Malam – 93k (RM27.40)

Jumlah = 996k @ RM294 (RM1= RP3388)

Hari Ke-2

Awal pagi dah bangun, subuh pukul 5.08 pagi dan pukul 6 pagi dah mula matahari terbit.

Lepas dah sarapan dan bergambar di kawasan hotel, kami terus sewa speda motor lagi untuk hari kedua. Kami mula keluar pukul 9.30 pagi untuk nak cari tempat tinggi untuk ambil gambar pemandangan danau toba dari atas bukit.

Dari peta, kami plotkan kat Menara Tele, tempat tinggi untuk sampai dengan menaiki speda motor. Jarak boleh tahan tapi sejak kami mula trip dari pagi, so best la layan angin sepoi-sepoi bahasa dan banyak berhenti di tempat yang menarik di antara jalan raya.

Tempat seterusnya ialah bandar Pangururan. Dari bandar ni, boleh pergi Efrata Waterfall, Sipoholan Hot Springs, Menara Tele, Pusuk Buhit dan Bukit Hollbung. Sepanjang perjalanan, cuaca sejuk dan nyaman tapi sebab sedap layan sejuk sampai tak ingat matahari dah membakar kulit muka dan tangan.

Masa naik Menara Tele kawasannya sangat lawa, pemandangan kiri dan kanan serta jalan pun cantik sudah seperti di Swiss dan Hokkaido masa musim bunga.

Kami banyak kali berhenti untuk bergambar di Menara Tele. Kalau naik sikit dalam 500 meter lagi, ada kawasan bersantai di Tikungan (selekoh). Di sana ada pondok atas pokok dan pemandangannya paling seronok dan epik. Selepas layan pemandangan, kami turun semula ke Menara Tele, di situ ada tempat makan dalam rumah kaca. Masakan ayam penyet dan Indomee pop sangat sedap. Pemandangan memang cantik dan paling seronok makanan halal.

Lepas dah layan pemandangan, kami mula turun sampailah di simpang kiri ke bandar pangururan dan kanan ke Efrata Waterfall dan Bukit Hollbung. Di situ ada tempat isi minyak, 1 botol lebih kurang RP10k (RM3). Kami isi sebab takut tak ada tempat isi minyak bila masuk dalam kawasan kampung ke Bukit Hollbung.

Masa perjalanan ke Hollbung di selekoh pertama, pemandangan cantik yang amat, sawah padi, berlatar belakangkan gunung dan 3 buah rumah berwarna-warni di tengah sawah padi yang bewarna merah, kuning dan biru. Pemandangan itu membuatkan kami terkesima dan berkira-kura sama ada mahu berhenti atau teruskan perjalanan. Akhirnya, kami sambung perjalanan sebab takut nanti tak puas layan pemandangan Bukit Hollbung.

Perjalanan untuk ke Bukit Hollbung akan melalui kawasan perkampungan, sekolah, puskesmas dan kedai-kedai kampung dan simpang ke Efrata Waterfall. Orang lokal panggil aek terjunan gajah sebab air terjun dia mengembang macam telinga gajah dan warna kemerah-merahan. Dengar pun dah teruja tapi kami teruskan perjalanan ke Bukit Hollbung dengan alasan nak layan pemandangan puas-puas di sana.

Jadi, kami teruskan perjalanan lagi, kali ini lalu di kawasan kampung yang kebanyakkannya orang muslim sebab ada 1 masjid. Kami singgah di masjid itu semasa dalam perjalanan nak balik. Suasana di situ sangat tenang dengan dikelilingi warna hijau bukit bukau dan rasa sejuk dingin.

Pemandangan dari puncak Bukit Hollbung boleh nampak sebahagian daripada Danau Toba, Bandar Pangururan dan Kecamatan Harian. Kawasan disekelilingnya memaparkan bukit bukau, kiri dan kanan dihiasi dengan rumput yang menghijau dan suasa perkampungan di tengah sawah padi. Pemandangan itu macam di Temata Peak, North New Zealand yang persis seperti lukisan. Hilang penat naik moto dengan jalan berlubang-lubang apabila tengok pemandangan yang menakjubkan itu di depan mata. Sememangnya dari KL lagi kami dah rancang nak pergi Bukit Hollbung ini.

Pemandangan Bukit Hollbung ini lain sikit daripada Menara Tele sebab boleh tengok pemandangan di situ 100% dengan tak ada halangan pokok dan angin bertiup tepat ke muka. Korang berswafotolah 8 juta kali sekalipun memang takkan puas walau pemandangan sama. Bila matahari makin menggigit kulit, kami terus gerak turun ke Bukit Hollbung. Dalam perjalanan balik, kami singgah di Sipoholan Hot Spring. Banyak tempat boleh singgah dan main air panas ala-ala Pamukale di Turki tapi kena bayarlah. Ada yang RP5k (RM1.50), ada yang RP10k (RM10), ada yang datang minum atau makan kat tempat mereka dapat main air panas percuma. Kami amik tempat yang paling tinggi dan pesan air sambil main air panas percuma dengan layan pemandangan Pulau Samosir dari Warkop (warung kopi).

Kemudian, kami gerak pulang pada pukul 4:30 petang, takut nanti jalan gelap dan berbahaya. Malam itu kami buat keputusan tukar hotel lain yang menghadap tasik. Pusing punya pusing di bandar Tuk Tuk, terjuma hotel yang ala-ala hotel 2 bintang dengan kos RP300k (RM88.40). Bilik kami di tingkat 3 dan menghadap tasik, kiranya bilik di tingkat paling atas dan boleh nampak hotel yang kami duduk pada malam pertama sebelum ini. Nampak juga Bukit Beta, Jeti Tomok dan nampak sipi-sipi Bukit Tanjungan. Di bawah hotel pula ada rumah makan muslim iaitu restoren Mapir.

Kos Hari Ke-2
Sewa speda motor – RP120k (RM35.40)
Makan Tengah hari di Menara Tele – RP80k (RM23.60)
Isi Benzin – RP20k (2 liter) (Rm5.90)
Bukit Hollbung – RP15k (RM4.40) (sebab bayar tempat letak motor)
Minum kopi dan jus nenas di Warkop tempat air panas Sipoholan RP35k (RM10.30)
Check in Mapir Hotel RP300k (RM88.40)
Makan Malam di Rumah Makan Muslim Mapir RP80k (RM24)

Jumlah = RP 650k @ RM191/RM192

Hari Ke-3

Pagi-pagi lagi kami dah check out dan gerak ke jeti berdekatan kawasan hotel. Jeti ini untuk bot penumpang ke Jeti Tiga Raja di Parapat. Bot sampai pada pukul 8 pagi dan tiket RP15k/pax (RM4.40).

Sampai Parapat, kami terus check in hotel pandu Lakeside Parapat sebab pemandangan cantik dan dekat dengan kedai cenderahati. Masa check in, baru pukul 9:30 pagi (ye 9:30 pagi terus boleh check in, tak payah nak tunggu pukul 12:00 tengah hari). Kami letak beg dan pesan makanan sambil menghadap laut sambil berbincang buat keputusan untuk pergi ke Sipiso Piso Waterfall. Agak jauh tapi rugi kalau tak pergi sebab air terjun ni yang tertinggi di Indonesia dan terletak di daerah Karo antara Parapat dan Beras Tagi. Rugi sangatlah kalau tak pergi sebab dari sini boleh pergi ke Taman Negara Simalem dan boleh tengok pemandangan Danau Toba dari sudut yang berbeza dan sangat epik. Kami minta pihak hotel carikan supir sebab tak larat nak bawa motor jauh-jauh. Kalau ikut google map atau waze dalam 84 km tapi disebabkan jalan kecil, lalu kawasan berbukit-bukit dan tepi pantai jadi maksimum pemanduan boleh bawa dalam 30 hingga 40km/jam.

Masa dalam perjalanan kira-kira separuh jalan, kami berhenti sekejap di Simalungun dan nama tempat ini adalah Penatapan Simalungun Indah (PSI). Tempat ini macam tempat yang biasa ada di Indonesia, ada basikal tergantung, tikar terbang dan sebagainya. Kami tak masuk sangat dengan aktiviti tu jadi kami tengok je orang lain naik semua tu. Lepas itu, kami sambung perjalanan sampai ke Sipiso Piso Waterfall. Bila sampai di sana, pemandangan sangat menakjubkan seperti klimaks di dalam movie yang boleh dengar bunyi air jatuh dari atas, dengar kicauan burung dan pemandangan pula nampak ala-ala macam dari titik satu Tree Hill kat Taman Negara Simalem.

Di sini kami makan dulu di rumah makan muslim dengan lauk ikan keli masak sambal dengan teh manis dingin (teh o ais) yang boleh tukar jadi sumber tenaga nak panjat tangga naik dari bawah Sipiso Piso nanti. Kami turun sampai separuh jalan saja sebab memikirkan nak naik balik agak mencabar. Jadi kami capai kata sepakat berhenti di tengah-tengah untuk layan pemandangan dari pondok di situ dan menikmati keindahan alam.

Pemandangan, perasaan dan semua perkara memang terbaiklah di Sipiso Piso. Berbaloi jalan jauh-jauh dari Parapat dan naik ke Karo. Tak rugilah perjalanan sebab pemandangan memang awesome. Lepas sejam lebih layan pemandangan, rilek dan layan bergambar berkeping-keping, kemudian barulah kami mula mendaki balik. Balik dari situ kami sempat singgah di tempat yang sama pagi tadi di kawasan Simalungun untuk makan jagung bakar ketika hujan lebat. Dia punya menikmati jagung bakar itu macam musim sejuk di gunung Usuzan, Danau Toya, Hokkaido.

Kami sampai di hotel hampir maghrib dan terus membersihkan diri dari terkena hujan tadi. Selepas itu, kami bersiap-siap untuk berjalan-jalan di deretan kedai cenderahati di jeti Tiga Raja. Agak jauh untuk menapak jadi kami tanya di kaunter untuk menyewa speda moto. Bila sampai di tempat cenderahati tersebut hujan lebat pula. Tidak sampai 3 minit pun tempat tu dari pandu lakeside hotel, akhirnya kami makan di rumah makan muslim sambil tunggu hujan berhenti. Sempat juga beli ole-ole di kawasan situ, harga boleh tahan kalau pandai tawar lagi pun dah malam dan nak tutup kedai. Kemudian, kami balik hotel dan kemas barang-barang untuk pulang esok.

Kos Hari ke-3
Bot dari Samosir ke Parapat Jeti Tiga Raja RP30k(RM8.80)
Angkut-angkut dari jeti ke hotel RP4k (RM1.20)
Check in Pandu Lakeside Hotel RP300k (RM88.30)
Sewa Avanza dan Supir ke Sipiso Piso RP650k (RM191.20)
Makan Tengah hari di Sipiso Piso RP48k (RM14.10)
Parking di Sipiso Piso RP5k (RM1.50)
Jagung Bakar RP8k (RM2.40)
Sewa Speda Moto budak hotel RP50k (RM14.70)
Makan malam di Rumah Makan Muslim RP90k (RM26.50)

Jumlah = RP1185000 @ RM349

Hari Ke-4

Awal pagi kami siap-siap dah nak check out sebab nak ke Lapangan Terbang Silangit sekurang-kurangnya 2 jam masa yang diperlukan. Lepas sarapan, sempat bergambar beberapa gambar kemudian kami terus naik Avanza gerak ke lapangan terbang.

Dalam perjalanan kami sempat berhenti di 1 tempat di kawasan Tikungan terakhir sebelum sampai bandar Silangit. Di situ pemandangan memang cantik sangat boleh nampak pemandangan Danau Toba, sawah padi, bukit-bukit dan perkampungan. Sampai di lapangan terbang, lepas check in, sempat minum kopi torbuk dan gorpis cheese coklat di kafe luar lapangan terbang. Ini kira moment terakhir kami sebelum terbang balik ke Malaysia.

Bye Lake Toba, Bye North Sumatra.

Benarlah kau negeri kepingan surga -Lake Toba.

Kos Hari ke-4
Supir dan Avanza ke lapangan terbang Silangit – RP400k (RM117.70)
Minum kopi dan gorpis – RP32k (RM9.40)

Jumlah = RP432k @ RM128.

Jumlah keseluruhan kos sepanjang trip KUL-Danau Toba ialah,

RM212 Lapangan terbang
RM294 Hari pertama
RM191 Hari ke-2
RM349 Hari ke-3
RM 128 Hari ke-4

Jumlah = RM1174 untuk 2 orang, penerbangan, kenderaan, penginapan dan makan minum. Kos per pax ialah RM1174/2 = RM587per pax.

Untuk maklumat lanjut sila layari instagram:

https://www.instagram.com/w.arejourney/

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca