[Video] Provokasi Melampau, Skuad Harimau Malaya Terpaksa Naik Barracuda Selepas Benam Garuda

Pada malam tadi, kita telah menyaksikan pertembungan antara Malaysia dan Indonesia untuk perlawanan pertama bagi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022. Seperti perlawanan sebelum-sebelum ini, pertemuan antara dua negara ini disajikan dengan pelbagai drama dan aksi panas sepanjang 90 minit tempoh permainan.

Malah, sebelum perlawanan bermula, rata-rata penyokong Malaysia dipercayai disambut dengan balingan batu daripada penyokong Indonesia.

Menerusi satu video yang tular di laman Twitter, penyokong skuad negara kita dilihat berlari masuk ke dalam stadium bagi mengelak daripada terkena batu yang dibaling mereka itu.

Ketegangan antara dua jiran serumpun ini makin memuncak semasa perlawanan sedang berlangsung apabila penyokong tuan rumah dikatakan mula membaling pelbagai objek kepada penyokong Malaysia.

Ia dipercayai berlaku selepas gol penyamaan berjaya dijaringkan oleh Syafiq Ahmad menjadikan kedudukan dua sama.

Tidak cukup dengan itu, penyokong Malaysia juga dikatakan basah ‘bermandikan’ air kencing yang turut dibaling oleh penyokong Garuda.

Atas faktor keselamatan, barracuda sekali lagi terpaksa digunakan untuk membawa kesemua pemain dan pegawai skuad Harimau Malaysia ke hotel penginapan selepas kemenangan 3-2 ke atas pasukan Indonesia.

Difahamkan, lima buah barracuda terpaksa digunakan oleh pihak keselamatan tuan rumah untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurut laporan Berita Harian, setelah beberapa minit barracuda itu keluar dari pekarangan stadium, bas yang membawa pasukan ke Stadium Gelora Bung Karno (GBK) dilihat bergerak keluar untuk dijadikan sebagai umpan bagi mengalih tumpuan penyokong skuad Garuda.

Penyokong Malaysia pula dikatakan terpaksa menunggu lebih dua jam di dalam stadium sebelum dibenarkan pulang ke hotel masing-masing.

Sebelum ini, skuad negara kita pernah mengharungi tiga detik ‘hitam’ sewaktu menentang Indonesia di tempat lawan termasuklah dua kali menaiki barracuda.

Ketika perlawanan final Piala AFF pada tahun 2010, pasukan negara terpaksa menaiki barracuda menuju ke GBK dan begitu juga ketika pulang ke hotel memandangkan mereka dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras.

Pada Sukan SEA 2011 pula, situasi yang hampir sama berulang apabila skuad kebangsaan kita sekali lagi dibawa menaiki barracuda setelah berdepan provokasi penyokong Indonesia.

Artikel Lain Untuk Di Baca