[Video] Protes Guling Naib Canselor, Graduan UM Dituntut Mohon Maaf Secara Terbuka

Hari Isnin yang lalu merupakan hari konvokesyen pada sidang kelima bagi graduan Universiti Malaya.

Walau bagaimanapun, kelancaran majlis rasmi itu telah dicemari oleh perlakuan seorang graduan bernama Wong Yan Ke daripada jurusan Kejuruteraan yang tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol acara berkenaan.

Tindakan biadap itu dilaporkan berlaku sebaik sahaja graduan memperoleh skrol ijazah sarjana muda di atas pentas.

Menerusi video yang tular di laman Twitter, pelajar tersebut dilihat naik ke pentas dengan membawa sebuah placard lalu menjunjung tinggi benda tersebut sejurus selepas dia memperoleh skrol sewaktu dalam perjalanan turun ke tangga pentas sambil menjerit dan melaungkan sesuatu kata sebagai tanda protes.

Difahamkan bahawa, perbuatan itu sengaja dilakukan oleh graduan berkenaan berikutan ketidakpuasan hatinya terhadap ucapan Naib Canselor Universiti Malaya, Abdul Rahim Hashim yang dipercayai berbaur masalah perkauman.

Lebih memeranjatkan apabila graduan tersebut turut memuat naik sebuah posting menerusi akaun Facebooknya sehari sebelum peristiwa berkenaan yang seolah-olah menyeru kepada graduan lain agar menyertai kempen pemprotesannya bagi menggulingkan naib canselor daripada terus memangku jawatan itu.

Tindakan siswazah berkenaan rata-ratanya telah menerima kemarahan dan kecaman daripada pelbagai pihak sehingga mengundang kontroversi dalam media sosial.

Sejurus daripada peristiwa berkenaan, pihak Universiti Malaya juga dilaporkan telah memfailkan laporan kepada pihak berkuasa atas tindakan biadap graduan tersebut. Manakan tidak, menerusi rakaman video yang tular sudah jelas membuktikan bahawa kekecohan dibuat secara sengaja sewaktu majlis rasmi dan kenamaan itu berlangsung.

Turut difahamkan apabila kumpulan pelajar berpengaruh iaitu Penggerak Mahasiswa turut melangsungkan petisyen yang bertujuan untuk menuntut dua perkara iaitu menarik semula sijil graduan dan permohonan maaf daripada graduan secara terbuka.

Pengerak Mahasiswa turut memberi respon berhubung isu ini dengan menyatakan bahawa mereka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Wong Yan Ke yang dianggap memalukan dan memburukkan nama universiti.

Mereka berpandangan bahawa perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku agar kesejahteraan dan keharmonian pelbagai kaum, latar belakang dan ideologi kampus dapat dikekalkan.

Artikel Lain Untuk Di Baca