[Video] Persahabatan Tanpa Diskriminasi, Video Kawan Baik Ini Berpelukan Menjadi Tular

Apabila kita melihat dunia ini daripada kaca mata seorang kanak-kanak, kita melihat dunia ini tanpa mempunyai sebarang prejudis dan diskriminasi. Untuk orang dewasa, kanak-kanak tidak mengetahui apa-apa lagi tentang dunia ini tetapi video ini menunjukkan yang sebaliknya.

Dalam video berkenaan, Maxwell dan Finnegan yang berusia dua tahun terserempak lalu mereka terus berlari untuk berpelukan di laluan pejalan kaki Washington Heights di New York.

Michael Cisneros, bapa kepada Maxwell, memberitahu CBS2 bahawa, “Mereka mempunyai pertalian yang sangat istimewa di mana tiada siapa yang mampu menandingi Finnegan di mata Maxwell.”

Tambahnya lagi, Finnegan dan Maxwell sering berpelukan setiap kali mereka berjumpa tetapi kali ini, Cisneros akhirnya dapat merakam kejadian tersebut apabila mereka terserempak minggu lepas.

Apabila Cisneros menceritakan kembali bagaimana kejadian yang menyentuh hati itu berlaku kepada CBS2, “Saya beritahu Maxwell yang Finnegan berada di atas bukit ketika itu dan mereka terus berlari ke arah masing-masing untuk berpelukan.”

Maxwell dan Finnegan sebenarnya merupakan jiran. Kali pertama mereka bertemu adalah di restoran tempatan tahun lepas dan sejak itu, mereka terus menjadi rakan baik sehingga hari ini.

Persahabatan Maxwell dan Finnegan bagai isi dengan kuku, mereka tidak dapat dipisahkan. Keluarga Maxwell dan Finnegan juga menyambut hari lahir bersama-sama, pergi bercuti dan berenang bersama-sama. Mereka (Finnegan dan Maxwell) tidak teragak-agak dalam menunjukkan kasih sayang mereka setiap kali mereka bertemu.

Perbezaan umur mereka cuma enam minggu sahaja dan hobi mereka ialah menonton ‘The Lion King’ bersama-sama.

Tambah Cisneros, “Persahabatan Maxwell dan Finnegan ini amat diperlukan pada masa ini di mana rasisme dan kebencian itu diajar. Maxwell dan Finnegan tidak lihat perbezaan yang ada pada diri masing-masing, sebaliknya mereka menerima rakan mereka seadanya.”

Cisneros juga berkata, “Kami cuma mahu membesarkan kanak-kanak yang penyayang dan pengasih. Saya rasakan bahawa orang ramai suka untuk melihat sedikit harapan.”

Dunia akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah sekiranya kita melihat dunia ini tanpa sebarang prejudis, seperti Maxwell dan Finnegan. Anda boleh menonton video ini di bawah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca