Video Pelajar UMS Panjat Pokok Demi Jawab Peperiksaan Tular, Ini Reaksi Tuan Punya Badan

Baru-baru ini, tular di media sosial tentang seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana kesungguhannya memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan talian internet bagi menjawab peperiksaan secara dalam talian. Rata-rata warganet tidak melepaskan peluang untuk melemparkan pujian terhadap pelajar yang dikenali sebagai Veveonah Mosibin itu.

Veveonah mengakui yang dia sangat terharu dengan sokongan yang diterimanya setakat ini. Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun YouTube miliknya, Veveonah menyatakan meskipun dia sangat gembira dengan pertambahan jumlah tontonan dan subscribers, namun perkara itu bukanlah keutamaan buatnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang subscribe dan sokong saya, terutama pihak universiti sendiri yang berkongsi video saya di Facebook.

Ramai yang memberikan komen positif dan motivasi, saya akan cuba balas semua komen dan hasilkan lebih banyak video yang menarik,” kata pelajar jurusan Asasi Sains itu.

Terdahulu, remaja yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah itu telah memuat naik video bertajuk 24 Hours On Tree Challenge (Cabaran 24 jam di atas pokok) di mana dia menceritakan pengalaman yang dilaluinya.

Video berdurasi sekitar 11 minit itu memaparkan Veveonah terpaksa memanjat pokok bagi menjawab kertas peperiksaan Kimia dan Pengajian Malaysia.

Pada mulanya, dia telah membina sebuah pondok kecil di atas bukit untuk tujuan itu, namun pondok itu rosak dipercayai kerana faktor cuaca.

Akhirnya, dia memilih untuk bermalam di atas pokok berkenaan kerana cuaca yang semakin gelap tidak memungkinkan dia pulang ke rumah selepas menjawab peperiksaan.

Untuk rekod, Veveonah mula menjadi YouTuber sejak Mei lalu dan kerap berkongsi video berkaitan gaya hidup tradisional yang dijalaninya bersama keluarga.

Semasa artikel ini ditulis, video 24 jam di atas pokok yang dimuat naik empat hari lalu telah meraih hampir 100,000 tontonan. Tinjauan kami di ruangan komen mendapati rata-rata yang menonton video tersebut memuji kesungguhannya.

Semoga kesungguhan remaja ini dapat memberi inspirasi dan mengajar kita semua yang hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca