Video Nyanyian Lelaki Ini Tular Di Media Sosial Dan Mendapat Perhatian Selebriti Terkenal Tanah Air

Sebaik saja memasuki alam universiti, pasti banyak kerja yang perlu disiapkan dan dihantar sehinggakan tidur pun tidak cukup. Tetapi ini tidak bermakna ia boleh menghalang anda daripada memasuki atau menyertai mana-mana acara ataupun pertandingan.

Banyak sebenarnya acara yang boleh kita sertai di dalam mahupun di luar universiti termasuklah acara nyanyian. Selain dapat menghilangkan stres, bakat yang terpendam juga dapat dicungkil melalui medium sebegini.

Kini, tular di laman sosial apabila seorang lelaki telah memuat naik video tentang seorang pelajar UiTM mempersembahkan nyanyian dengan penuh penghayatan di dalam sebuah pertandingan yang dianjurkan di universiti tersebut.

Menurut abangnya yang memuat naik video tersebut di Twitter, persembahan tersebut adalah sewaktu di peringkat separuh akhir untuk pertandingan Clash of Talents di UiTM Puncak Alam dan dia kemudiannya berjaya melangkah ke peringkat penentuan yang berlangsung pada 5 Disember 2018 di DATC, UiTM Shah Alam.

Di dalam persembahan penuh bermakna tersebut, pelajar lelaki yang tular itu dikenali sebagai Mohd Shazriq Shah Bin Azeman ataupun Shazriq, pelajar dari Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA) UiTM Puncak Perdana telah menyampaikan lagu medley ‘Berhenti Berharap’ nyanyian asal Sheila On 7 dan ‘Jar of Heart’ nyanyian asal Christina Perri.

Apabila klip video tersebut dimuat naik di Twitter abangnya, ia terus mendapat sambutan hangat netizen dan turut mendapat perhatian selebriti tempatan seperti Daiyan Trisha.

Beliau turut terkesan dengan persembahan tersebut. Daiyan mengatakan di laman Twitternya, siapakah yang mematahkan hatinya? Lalu abang kepada Shazriq membalas tweetnya, menjelaskan tiada siapa yang mematahkan hati adiknya itu dan mengatakan Shazriq cuma pandai menyampaikan emosi melalui lagu.

Rata-rata netizen yang turut memuji bakat istimewa yang dimiliki Shazriq dan cara penghayatan emosi dalam lagu yang disampaikan itu. Jika dilihat betul-betul cara Syazriq menyampaikan persembahannya juga unik. Ia seperti orang yang sedang bersajak ataupun bercerita.

Tidak lama kemudian, video itu juga mendapat perhatian sebuah rancangan temu bual iaitu Motif Viral. Shazriq dan rakannya, Faiz dijemput menjadi tetamu Motif Viral 3.0.

Menurut Haze, salah seorang pengacara Motif Viral mengatakan bahawa video tersebut tular kerana abang kepada Syazriq memuat naiknya di Twitter, PakNil pula memuat naik video itu di story Instagram dan Fauziah Gous memuat naiknya di post Instagram beliau.

Dalam rancangan tersebut, Syazriq menyatakan bahawa dia mula menyanyi semenjak umurnya 9 tahun. Tambahnya lagi, beliau minat untuk menjadi penyanyi sejak umurnya 5 tahun lagi.

Setelah tamatnya pengajian, Shazriq bercita-cita ingin meneruskan impiannya sebagai seorang penyanyi. Kini dia dan rakannya Faiz sebagai keyboardist telah menubuhkan duo unit band yang dikenali sebagai SHAZZ.

Semoga Shazriq dan Faiz berjaya dan dikenali di seluruh Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.

Penulis

  • Nur Jannahtul Kamaliah Abd Manaf adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca