Siapa yang tidak kenal artis muda yang berbakat besar iaitu Sarah Suhairi. Baru-baru ini, penyanyi tersebut menjejakkan kakinya ke negara asia yang sangat terkenal dalam kalangan warganet. Kehadirannya di Korea secara tidak langsung menggemparkan peminatnya yang berada di Malaysia.
Masakan tidak, segala aktiviti beliau telah didokumentarikan menjadi sebuah video dan dimuat naik menerusi laman YouTuber terkenal dari Korea iaitu Blimey.
Selepas tular peristiwa Sarah Suhairi mencuba hidangan makanan laut di Korea, rakaman beliau membuat persembahan di Busan telah membuatkan kesemua peminatnya berbangga dengan beliau.
Lebih-lebih lagi apabila penyanyi ini membuat keputusan untuk memilih lagu dendangan Mas Idayu sebagai lagu bagi menghiburkan para penonton Korea.
Menerusi rangkaian YouTube Blimey, Sarah Suhairi kelihatan begitu risau sekiranya persembahan beliau tidak menarik perhatian masyarakat Korea.
Bagaimanapun, persembahan Sarah Suhairi sewaktu Festival Jagalchi menerima sambutan positif daripada warga Busan.
Sehinggakan, selepas selesai membuat persembahan, seorang penyanyi trot di Korea datang menghampiri Sarah untuk bergambar bersama. Bukan itu sahaja, wanita itu turut memuji persembahan Sarah pada malam itu.
Menariknya, persembahan beliau membuatkan penonton di hadapan pentas turut sama berjoget. Tidak kurang juga, ramai para peminat Sarah yang memberikan komen teruja kerana melihat gadis ini berani menghiburkan penonton asing dengan lagu dangdut dari Malaysia.