[Video] Lagak Seperti Orang Dewasa, Bayi Hisap Vape Ini Terima Amukan Warganet

Rokok elektronik atau kita sering sebut sebagai vape memang popular dalam kalangan masyarakat kita. Pada mulanya, ia dikatakan alternatif bagi membantu seseorang itu untuk berhenti merokok. Namun begitu, lama-kelaman, ia seolah-olah menjadi trend semasa apabila mereka yang pada asalnya tidak merokok pun mula ‘berkenalan’ dengan vape.

Vape dan cecair isian semula juga mudah untuk didapati di mana-mana sahaja baik di kedai-kedai fizikal mahupun secara dalam talian. Ini sekali gus menyumbang kepada kenaikan jumlah pengguna vape yang terdiri daripada semua peringkat usia.

Baru-baru ini, satu video yang memaparkan seorang bayi berusia sekitar dua hingga tiga tahun sedang menghisap vape telah tular di media sosial. Video itu telah mencetus kebimbangan dalam kalangan warganet kerana bayi tidak sepatutnya didedahkan dengan benda itu.

Seorang pakar perubatan yang cukup terkenal di media sosial terutamanya di laman Twitter, Dr. Khairul Hafidz turut tampil menyuarakan kebimbangannya terhadap ‘aksi’ bayi dalam video itu.

Video yang dimuat naik oleh Dr. Khairul Hafidz di Twitternya itu meraih hampir 200,000 tontonan dan 5,000 ulang kicau.

Lebih menyedihkan adalah apabila tiada siapa pun yang melarang kanak-kanak itu berbuat demikian. Perbuatan itu malah dirakam dan bukannya diambil tindakan sewajarnya.

Tinjauan kami di ruangan Replies pada tweet yang dikongsikan oleh Dr. Khairul Hafidz mendapati bahawa rata-rata yang melihat video itu sangat marah dengan tindakan ibu bapa bayi berkenaan.

Janganlah kita mempertaruhkan masa depan anak-anak. Jangan tunggu nasi jadi bubur baru mahu menyesal.

Artikel Lain Untuk Di Baca