[Video] “Keluarkan Saya”, Bekas Tentera Ini Masih Tetap Mahu Hiburkan Tetamu Walaupun Sudah Mati

“Keluarkan saya! Di dalam ini terlalu gelap,” ungkap satu suara yang datang dari sebuah keranda yang baru sahaja diturunkan ke dalam lubang kubur.

Namun begitu, tetamu yang hadir kelihatan tenang sekali apabila suara misteri itu kedengaran. Malah, ada yang bergelak ketawa apabila perkara itu terjadi.

Kejadian yang berlaku di sebuah tanah perkuburan di Kilmanagh, Kilkenny, Ireland itu terjadi semasa majlis pengebumian seorang bekas tentera pertahanan Irish, Shay Bradley. Menurut anak gadisnya, Andrea, suara bapanya yang berkumandang di kuburan itu merupakan permintaan terakhir lelaki tersebut sebelum mati. Shay mahu menghiburkan tetamu yang hadir memberikan penghormatan terakhir pada hari pengebumiannya.

Tambah Andrea lagi, suara itu sebenarnya sudah dirakam terlebih dahulu dan hanya dimainkan melalui pembesar suara yang diletakkan di atas tanah bersebelahan kubur bapanya.

“Itu adalah permintaan terakhirnya. Dia mahu kami semua tetap tersenyum dan ketawa walaupun kami sebenarnya amat berdukacita dengan pemergiannya,” ujar Andrea.

Rakaman pengebumian tersebut tular di media sosial Twitter dan telah mendapat sebanyak 8.4 juta penonton, 926 ulang kicau dan 2.2 ribu tanda suka.

Rata-rata komentar yang ditulis oleh warganet berkata Shay Bradley pasti seorang yang kelakar semasa hidupnya dan masih mahu membuatkan orang lain tersenyum walaupun sesudah meninggal dunia.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca