[Video] Jennifer Haller, Sukarelawan Dan Wanita Pertama Disuntik Vaksin Percubaan COVID-19

Serangan virus COVID-19 telah menggemparkan seluruh dunia sehingga beberapa buah negara telah menggantung kemasukan orang asing. Saintis pula sedang bertungkus-lumus mencari vaksin bagi melawan virus COVID-19 yang kini sudah membunuh hampir 6,000 orang di seluruh dunia. 

Dalam pada itu, Jennifer Haller, 43, secara sukarela telah menjadi orang pertama yang mendaftar dalam percubaan menerima vaksin mRNA-1273. Wanita yang berasal dari Amerka Syarikat itu bersedia mempertaruhkan nyawanya demi mencari vaksin bagi wabak COVID-19 ini.

Menurut ibu kepada dua orang anak ini, dia ingin membantu masyarakat yang pada saat ini seakan-akan kehilangan harapan akibat penularan wabak COVID-19 di serata dunia.

“Kami semua merasakan tidak dapat melakukan apa-apa dan ini merupakan satu peluang yang menakjubkan. Saya harap ini adalah langkah supaya dunia bebas daripada koronavirus.”

Jennifer serta dua orang lagi peserta yang menerima dos suntikan percubaan tersebut akan berada di bawah pemerhatian dalam masa sebulan.

45 sukarelawan yang lain turut menyertai kajian tersebut bagi membuktikan vaksin tersebut berkesan dan selamat digunakan.

Ujian klinikal fasa 1 vaksin yang berpotensi untuk COVID-19 telah dibuat pada hari Isnin, 16 Mac, di Seattle, Amerika Syarikat.

Vaksin, mRNA-1273, telah dibangunkan oleh syarikat bioteknologi Moderna dalam kombinasi dengan penyelidik dari National Institutes of Health (NIH). Percubaan sedang dijalankan di Kaiser Permanente Washington Institut Penyelidikan Kesihatan di Seattle. 

Dalam kajian fasa 1, penyelidik akan membuat ujian dengan menyuntik tiga dos yang berbeza untuk vaksin mRNA-1273. Perkara ini telah dijalankan dengan memilih 45 orang sukarelawan dewasa yang sihat untuk percubaan awal.

Peserta yang terlibat akan menerima dua suntikan vaksin dalam masa selang 28 hari dan akan dipantau untuk menilai kedua-dua keselamatan serta imunogenikiti vaksin tersebut. Suntikan yang terakhir pula adalah untuk melihat seberapa baik vaksin mRNA-1273 dalam merangsang tindak balas imun terhadap protein pada permukaan wabak COVID-19.

Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Dr. Anthony Fauci menyatakan ia merupakan langkah pertama yang penting dalam mencapai kejayaan dalam misi ini.

Walau bagaimanapun, sekiranya ujian awal klinikal ini berjalan lancar, namun ia mungkin mengambil masa kira-kira setahun hingga 18 bulan sebelum vaksin itu benar-benar dapat digunakan untuk orang ramai.

Untuk membaca artikel lain mengenai penyebaran wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca