[Video] Hanya Kerana Rindukan Nasi Lemak, YouTuber Ini Sanggup Terbang 9,600KM Dari Greece Ke Malaysia

Nasi lemak merupakan salah satu makanan kegemaran penduduk di Malaysia tidak kira tempat dan waktu. Namun, adakah anda sanggup terbang ke negara lain semata-mata kerana anda rindukan rasa makanan tersebut yang hanya boleh ditemui di negara asal mereka?

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia menjadi sebuah destinasi pelancongan yang terkenal kerana bukan sahaja negara ini mempunyai pelbagai tempat yang menarik, tetapi paling utama kerana terdapat kepelbagaian jenis makanan.

Dalam erti kata lain, ia tidak keterlaluan untuk memanggil negara kita sebagai syurga makanan. Buktinya, seorang YouTuber iaitu Darrren Cronian telah berkongsi video beliau ke Malaysia dari Athens semata-mata kerana nasi lemak.

Darren Cronian. Sumber: Malay Mail

Pada mulanya, dia merancang untuk menghabiskan musim sejuknya di Greece. Namun, semuanya berubah apabila dia ternampak gambar nasi lemak yang enak di media sosial dan membuat keputusan untuk terbang ke Malaysia dari Greece.

Menurut laporan Malay Mail, Darren berkata, “Penerbangan saya dari Athens ke Singapura mengambil masa 11 jam. Saya kemudiannya berada di Singapura selama enam jam sebelum saya akhirnya sampai ke Kuala Lumpur.”

Sebaik sahaja Darren mendarat di Kuala Lumpur, dia segera mendapatkan dirinya nasi lemak bersama ayam goreng.

Darren jatuh cinta serta-merta dengan rasa nasi lemak ketika pertama kali mencubanya di Malaysia lima tahun yang lalu. Menurutnya, “Selepas saya melihat seorang penduduk tempatan makan nasi lemak menggunakan tangan dan mencampurkan semua bahannya (ikan bilis, kacang, nasi dan sambal), saya pun mahu melakukan perkara yang sama.”

Bukan sahaja nasi lemak, tetapi dia sudah mencuba pelbagai makanan tempatan dan makanan kegemarannya termasuk laksa Sarawak, mi goreng mamak, mi kolok dan makanan istimewa India dari Little India di Brickfields, Kuala Lumpur.

Dia turut menyukai kepelbagaian kaum di Malaysia selain daripada makanan dan hospitaliti yang ditawarkan membuatkan dirinya berasa seperti di rumah.

Susulan perkongsian berkenaan, rata-rata warganet mengalu-alukan kedatangannya. Untuk pengetahuan anda, YouTuber terbabit membuat perancangan untuk berada di Malaysia selama satu bulan untuk melawat tempat-tempat menarik dan mencuba makanan rakyat Malaysia.

Mungkin anda yang selalu food hunting boleh membantu Darren untuk menikmati makanan kegemaran rakyat Malaysia. Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Artikel Lain Untuk Di Baca