[Video] Episod Dikatakan Semakin Hambar, Haha Tampil Dedahkan Derita Sebenar Ahli Running Man

Sebut sahaja Running Man, pasti majoriti pembaca di sini tahu dan pernah lihat rancangan realiti Korea Selatan yang cukup popular itu. Sudah bersiaran selama kira-kira 10 tahun, Running Man masih lagi utuh berdiri dalam industri hiburan.

Walaupun rating rancangan itu sedikit tergugat selepas Kang Gary mengambil keputusan untuk keluar, kemasukan dua orang ahli baharu iaitu Yang Se-chan dan Jeon So-min berjaya menyelamatkan Running Man.

Meskipun tersenarai antara rancangan realiti paling terkenal di seluruh dunia, Running Man tidak terlepas daripada menerima kritikan hebat di mana ada sesetengah pihak mengatakan permainan yang dimuatkan dalam siri itu semakin hambar dari masa ke masa.

Menurut sesetengah pihak, pada awal kemunculan rancangan itu, terdapat banyak permainan menarik yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya terhibur. Kini, ada yang berpendapat bahawa ahli-ahli Running Man terlampau try-hard untuk menjadikan rancangan itu kelakar.

Namun begitu, tiada siapa sangka di sebalik usaha mereka untuk menghiburkan kita semua, rupanya mereka ada menyimpan rahsia yang belum pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Seorang pengguna laman Twitter telah berkongsi satu keratan video yang memaparkan salah seorang ahli Running Man iaitu Ha Dong-hoon atau lebih dikenali sebagai Haha mendedahkan yang mereka sebenarnya berdepan dengan masalah kesihatan yang cukup serius sepanjang menjalankan penggambaran rancangan itu.

Menurut Haha, Kim Jong-kook merupakan antara ahli terawal yang menderita masalah tulang belakang. Meskipun penyanyi itu diberi julukan ‘Sparta’ kerana sering dilihat sebagai pemain yang kuat, namun tiada siapa tahu derita yang dialaminya.

Masalah yang sama kemudiannya terjadi kepada ahli-ahli lain dan ada di antara mereka yang terpaksa menjalani beberapa pembedahan. Walaupun belum pulih sepenuhnya, mereka terpaksa meneruskan penggambaran kerana kekangan masa.

Terdahulu, Haha mendedahkan yang dia pernah berhadapan dengan risiko lumpuh akibat tidak berehat sepenuhnya selepas menerima rawatan.

Begitulah derita yang terpaksa ditanggung semua ahli Running Man. Jadi, sebelum kita lontarkan kritikan yang rancangan itu semakin hambar, fahami dahulu derita yang mereka alami demi menghiburkan kita semua.

Artikel Lain Untuk Di Baca