[Video] Bekas Pesakit COVID-19 Kongsi Cara Lawan Virus Tersebut

Baru-baru ini, bekas pesakit COVID-19, Ariffin Mamat telah berkongsi pengalamannya yang pernah disahkan positif virus berbahaya itu.

Ariffin Mamat atau lebih mesra disapa Pak Pin telah disahkan positif COVID-19 pada 5 Mac lalu dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh demi mendapatkan rawatan kesihatan.

Pak Pin yang juga merupakan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia menyatakan bahawa COVID-19 sebenarnya masih boleh dirawat jika individu terbabit sebelum itu mengamalkan gaya hidup sihat.

“Virus COVID-19 seperti kita kena selsema dan badan kita sendiri boleh melawan kuman itu. Jadi, untuk diri kita melawan kuman, minda perlu positif dan kita kena ada harapan sembuh, jangan berputus asa.” jelasnya.

Menurut Pak Pin lagi, “kita jangan rasa sedih, takut dan menggunakan masa dengan sebaik mungkin dengan tidur yang cukup. Sebenarnya, apabila badan kita kuat dan menjaga kesihatan sebelum itu, kita akan mudah melawan penyakit.”

Pak Pin menjelaskan bahawa dirinya tidak ada simptom seperti demam teruk dan selsema, namun doktor mengesahkan positif COVID-19 disebabkan ada berhubung rapat dengan individu yang lebih awal disahkan positif.

“Saya sebenarnya tidak ada simptom, hanya batuk sikit-sikit. Kami (pesakit) ditempatkan di satu bilik dihuni empat orang, semua positif. Setiap orang ada simptom masing-masing, ada demam dan batuk.”

“Ubat yang diberi hanya untuk melawan (memulihkan) simptom (seperti batuk). Jadi badan kita kena kuat dari segi mental, emosi supaya kita positif dan kuat melawan virus ini. Virus tidak mahu ada dalam badan apabila kita kuat,” tambah Pak Pin lagi.

Susulan daripada itu, Pak Pin turut mengarahkan individu yang rapat dengannya supaya membuat saringan kesihatan dan melakukan pengasingan diri bertujuan mengelak virus ini tersebar kepada individu lain.

Pak Pin juga berterima kasih dan memuji sikap semua petugas kesihatan yang positif dan berhemah dalam merawat setiap pesakit COVID-19 biarpun berdepan risiko untuk dijangkiti.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca