[Video] Bapa Dinobat Sebagai Pemenang Anugerah Ballon d’Or, Reaksi Teruja Anak Messi Cuit Hati Warganet

Reaksi anak kedua Lionel Messi iaitu Mateo Messi yang tidak dapat mengawal keterujaannya saat pemain bintang Barcelona itu diumum sebagai pemenang Anugerah Ballon d’Or pada Isnin lepas menjadi tular di media sosial sehingga ke hari ini.

Menerusi keratan video yang dimuat naik di Twitter @francefootball, Mateo yang berusia empat tahun itu kelihatan begitu teruja sekali di mana dia sempat menggoyangkan badan dan tangannya. Bibirnya pula tidak henti-henti mengukirkan senyuman selepas ayahnya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Ballon d’Or.

Berbeza pula dengan abangnya iaitu Tiago Messi yang duduk dengan tertib sekali dan tekun mendengar pengumuman tersebut.

Video yang memaparkan gelagat Mateo itu berjaya mencuri perhatian warganet dan meraih lebih 4.3 juta tontonan setakat ini.

Pemain Argentina itu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ballon d’Or buat kali keenam menewaskan bintang Liverpool, Virgil van Dijk.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan pemain berusia 32 tahun itu mengetepikan pesaing terdekat, Cristiano Ronaldo yang sekadar boleh berpuas hati di tangga ketiga.

Untuk rekod, Messi dan Ronaldo sebelum ini mencatat rekod yang sama iaitu dengan lima trofi Ballon d’Or. Terdahulu, ayam tambatan Barcelona itu meraih anugerah tersebut pada tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2015.

Artikel Lain Untuk Di Baca