Tindakan segelintir penduduk memberi makan kepada babi hutan di Bukit Ketumbar dekat Cheras, Kuala Lumpur menyebabkan haiwan itu berasa selesa dan mula memasuki kawasan perumahan.

Memetik laporan Harian Metro, populasi babi di bukit itu terlampau banyak, namun ia tidak menyerang atau agresif.

Zoo Babi Hutan yang pertama di Cheras, KL.. Semakin laris Babi² skrg.. 🐖🐖🐷🐷#Perhilitan #ZooNegara#PDRM#DBKL

Posted by Azman Johari on Monday, November 25, 2019

Kemunculan haiwan itu di kawasan perumahan sekali gus mengundang keresahan masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam selain yang mempunyai anak kecil.

Menurut salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Arsiyoh Mamat, populasi babi hutan di bukit itu memang banyak sejak dulu lagi, namun ia tidak pernah menyerang penduduk.

“Sekitar tahun 90-an, saya mendirikan rumah secara haram di bawah bukit itu dan sudah biasa dengan kehadirannya kerana di sana adalah habitatnya.”

“Pada 2001, saya berpindah menduduki Flat Cheras Ria selepas rumah yang didiami ketika itu dirobohkan pihak berkuasa.”

“Senario babi di sekitar kawasan ini adalah biasa buat kami cuma apabila ada yang bertindak memberi makan menyebabkan haiwan itu mula memasuki kawasan perumahan,” katanya.

Tambah Arsiyoh lagi, babi berkenaan sepatutnya dibiarkan hidup di lokasi habitatnya iaitu di bukit dengan cara kehidupan haiwan itu sendiri.

“Tindakan segelintir penduduk yang memberi makan berdekatan kawasan perumahan adalah tidak wajar.”

“Ini secara langsung kita mengubah cara haiwan ini mencari makan dan seolah-olah kita seperti menjaga atau membelanya,” katanya.

Pendaki Bukit Ketumbar yang hanya mahu dikenali sebagai Lee mengatakan bahawa terdapat lebih 30 orang yang mendaki bukit itu setiap hari.

“Setiap minggu saya juga pasti akan beriadah di situ yang mana babi hutan di bukit ini jinak dan tidak pernah menyerang walaupun lalu bersebelahan kami.”

“Di sini adalah habitatnya dan biarlah haiwan ini hidup di situ selain sumber makanan di bukit itu cukup banyak buat haiwan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai iaitu Bryan Lai Wai Chong mengatakan bahawa pihaknya sudah pun mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penduduk Cheras Ria selepas menerima aduan mengenai isu ini.

“Punca kehadiran babi di kawasan berkenaan adalah disebabkan ada dalam kalangan penduduk yang memberi makan kepada haiwan itu.”

“Dengan itu, kita menasihati penduduk agar tidak memberi makanan kepada haiwan itu di kawasan perumahan selain akan menaikkan papan tanda serta kain rentang untuk memperingati mereka.”

“Jika masih terdapat babi yang terus memasuki kawasan perumahan, langkah terakhir kita terpaksa ambil adalah dengan menembak haiwan itu dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda