[Video] Aksi Gajah Berenang Di Tasik Kenyir Curi Tumpuan Warganet

Gajah yang merupakan mamalia terbesar di darat juga boleh berenang jauh dalam air menggunakan belalainya untuk bernafas di permukaan air. Namun, peluang untuk menyaksikan gajah berenang adalah sesuatu yang jarang diperoleh.

Mohd Suwardi Muhamad Azmi menganggap pengalamannya yang baru-baru ini terserempak dengan seekor gajah yang sedang berenang di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu itu satu pengalaman yang sangat menggembirakan. Ini kerana aksi tersebut menjadi petunjuk bahawa Tasik Kenyir masih menjadi lokasi habitat semula jadi mamalia itu.

Dia yang kerap memancing di Tasik Kenyir berkata bukan sahaja gajah, tetapi banyak lagi haiwan yang boleh berenang seperti harimau, khinzir, beruk, kera, kambing hutan, kancil, kijang dan rusa.

Sejak Mohd Suwardi mula bergiat aktif dengan aktiviti memancing pada tahun 2004, ini merupakan kali keempat dia melihat gajah berada di dalam air. Dia tidak menyangkakan bahawa video yang dikongsikan di akaun Facebook miliknya itu mendapat perhatian ramai.

Menurutnya, ramai yang memberitahu itu kali pertama mereka melihat mamalia tersebut berenang. Ada juga yang mengakui bahawa mereka baru tahu yang gajah mampu berenang walaupun memiliki saiz badan yang besar.

Namun begitu, ini merupakan satu pemandangan yang ‘biasa’ bagi kaki pancing di Tasik Kenyir. Tambahnya, “… Yang penting kita jangan ganggu habitat haiwan ini. Jangan ganggu pergerakan mereka ketika berenang bimbang jika ia bertindak ganas pula. Biasanya, kami hanya lihat sahaja dan rakam video jika sempat sebagai kenang-kenangan.”

Anda boleh menonton video yang berdurasi selama tiga minit 45 saat di bawah.

Sementara itu, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, kebanyakan gajah secara semula jadi pandai berenang.

Tambahnya, memandangkan kawasan Tasik Kenyir ialah tasik buatan dan pernah menjadi hutan rimba sebelum ini, laluan yang dilalui oleh gajah tersebut mungkin merupakan satu laluan yang biasa dilalui olehnya sebelum ini. Ini kerana mamalia tersebut kebiasaannya akan melalui laluan yang sama sepanjang hayat mereka.

Kesimpulannya, gajah boleh berenang di dalam air dan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan buat mereka yang terbiasa dengan pemandangan tersebut.

Artikel Lain Untuk Di Baca