[Video] Litar Sepang Ragut Nyawa Lagi, Afridza Munandar Maut Dilanggar Pelumba Lain

Perlumbaan pertama Idemitsu Asia Talent Cup yang mengambil tempat di Litar Antarabangsa Sepang pada Sabtu, 2 November 2019 bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang pelumba meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan semasa sedang beraksi.

Nahas yang melibatkan pelumba muda Indonesia yang dikenali sebagai Afridza Munandar itu berlaku pada pusingan pertama di mana jentera mangsa dilihat rebah menyembah bumi selepas dia gagal untuk mengawal motosikalnya sebaik sahaja memasuki selekoh ke-10.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, Afridza dilihat mampu untuk bangun semula untuk mengangkat motosikalnya namun belum sempat dia berbuat demikian, dia dilanggar oleh pelumba lain yang membawa kepada kecederaan parah.

Menurut laporan Astro Awani, selepas mendapati Afridza mengalami kecederaan parah, pasukan paramedik membuat keputusan untuk mendapatkan perkhidmatan helikopter bagi membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pelumba yang baru sahaja berusia 20 tahun itu apabila dia gagal diselamatkan. Afridza disahkan meninggal dunia akibat daripada kemalangan tersebut.

Tragedi ini nyata menyedihkan komuniti sukan permotoran, lagi-lagi apabila ia melibatkan pelumba muda yang sedang meningkat naik.

Untuk rekod, Allahyarham telah mengharungi musim 2019 dengan cemerlang menerusi enam podium (dua kemenangan, dua kali muncul sebagai naib juara serta raih tempat ketiga sebanyak dua kali).

Kemalangan yang menimpa Afridza telah mengimbau kembali tragedi yang melibatkan seorang pelumba MotoGP iaitu Marco Simoncelli pada tahun 2011.

Pelumba Itali itu mengalami kemalangan di selekoh 11 iaitu berhampiran dengan selekoh yang meragut nyawa Afridza. Malah, cara kedua-dua mangsa menemui ajal juga boleh dikatakan agak serupa memandangkan masing-masing dilanggar pelumba lain selepas terjatuh di atas litar.

Team Lejen Press Digital mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Afridza Munandar. Al-Fatihah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca