[Video] 4 Kecaman Ini Penyumbang Kepada Tindakan Sulli Ambil Nyawa Sendiri?

Berita kematian bekas ahli kumpulan ikonik K-Pop, f(x), Choi Jin-ri atau lebih dikenali sebagai Sulli yang ditemui tidak bernyawa di apartmennya telah menggemparkan seluruh dunia.

Menurut laporan media tempatan, Sulli yang baru sahaja berusia 25 tahun itu telah menggantung dirinya di dalam bilik. Pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri To The Beautiful You itu dilaporkan derita penyakit kemurungan yang melampau.

Sepanjang kariernya sebagai penyanyi dan pelakon, Sulli menerima banyak kecaman terutamanya di media sosial. Ramai yang mengatakan bahawa buli siber terhadap selebriti itu menjadi punca kepada penyakit kemurungan yang dihidapi sekali gus membawa kepada tindakan mengambil nyawanya sendiri.

Berikut kami kongsikan empat kecaman yang dikatakan menjadi penyumbang kepada tindakan Sulli itu:

1. Mengigit kucing

Sulli sebelum ini pernah membuat IG Live di laman Instagram bersama dengan kucing peliharaannya. Dalam IG Live berkenaan, Sulli dilihat sedang bermanja dengan kucing baka Sphynx itu.

Dia telah menerima kecaman hebat gara-gara tindakannya yang menggigit kucing berkenaan sehingga kulit haiwan itu kelihatan tertarik. Ramai yang beranggapan bahawa Sulli berkelakuan ganas terhadap kucing tersebut. Malah, ada yang berpendapat bahawa Sulli sebenarnya seorang yang psiko. Jika dilihat semula video di atas dengan teliti, Sulli hanya ingin bermanja dengan haiwan kesayangannya itu.

2. Bercium dengan Goo Ha-ra

Sulli juga pernah dikecam bagaikan tiada hari esok apabila dia dilihat bercium dengan teman baiknya yang juga merupakan seorang penyanyi terkenal, Goo Ha-ra atau lebih dikenali sebagai Hara. Ramai yang melabel Sulli sebagai lesbian gara-gara tindakannya itu.

3. Mencium pipi Choiza

Sebelum ini, Sulli ada memuat naik satu foto bersama dengan kekasihnya iaitu Choiza. Dalam foto berkenaan, Sulli dilihat mencium pipi Choiza yang juga merupakan seorang penyanyi di Korea.

Meskipun ia (bercium) merupakan perkara biasa di negara itu, ramai yang tidak senang apabila Sulli berbuat demikian. Gara-gara foto itu, pelbagai kecaman telah dilemparkan terhadap Sulli.

4. Tag akaun peribadi (private account) G-Dragon

Peminat K-Pop pasti tahu yang Sulli merupakan teman baik kepada ahli kumpulan Big Bang iaitu G-Dragon. Malah, ada yang beranggapan mereka berdua sebenarnya hangat bercinta kerana terlampau akrab.

Sudah menjadi kebiasaan apabila selebriti mempunyai dua akaun di laman sosial. Selalunya, akaun peribadi itu cuma dikhaskan untuk kenalan rapat dan keluarga bagi menjaga privasi. Begitu juga dengan G-Dragon di mana dia mempunyai akaun peribadi di laman Instagram.

Sulli dikecam hebat apabila dia telah tag kedua-dua akaun milik G-Dragon di satu foto semasa dia pergi ke konsert penyanyi itu. Rata-rata warganet mengecam tindakan Sulli itu kerana dia dianggap seolah-olah tidak menghormati privasi G-Dragon.

Persoalannya, benarkah kecaman-kecaman di atas menjadi penyumbang utama Sulli bertindak membunuh diri? Terdahulu, Sulli pernah mengeluarkan satu kenyataan di mana selama ini, dia cuma berpura-pura gembira di depan orang ramai.

Kata-kata itu sememangnya jauh lebih tajam daripada pedang. Jadi, semoga kisah tragis yang menimpa Sulli ini dapat dijadikan pengajaran buat kita semua. Fikir dahulu sebelum meninggalkan apa-apa komen kerana siapa tahu kerana coretan anda itu, satu nyawa telah melayang.

Artikel Lain Untuk Di Baca