Vesna Vulović Terselamat Meskipun Pesawatnya Meletup 33,330 Kaki Di Udara

Ketika Bruno Honke pergi menyiasat satu suara jeritan di kawasan bukit berdekatan kampungnya, lelaki itu tidak menyangka dia akan menemui bangkai kapal terbang yang sudah musnah dek letupan.

Lebih menggemparkan adalah Bruno turut menemui seorang wanita yang memakai uniform kru kapal terbang dalam keadaan cedera parah namun masih hidup.

Wanita itu akhirnya berjaya dikenal pasti sebagai Vesna Vulović yang baru sahaja memecah rekod dunia tanpa sengaja selepas dia terselamat usai jatuh dari ketinggian 33,330 kaki di udara tanpa menggunakan payung terjun.

Latar belakang

Ketika usianya mencecah 22 tahun, Vesna Vulović yang berasal dari Serbia sudah menjadi kru kapal terbang selama lapan bulan sebelum dia terlibat dengan kejadian hempasan pesawat JAT 367.

Usai ke London untuk mempelajari bahasa Inggeris, Vesna menyedari akan minatnya yang mendalam untuk mengembara ke seluruh dunia. Oleh itu, wanita berkenaan segera menyertai rakannya untuk mendaftar diri sebagai kru kapal terbang.

Pada tahun 1971, Vesna berjaya menyertai JAT Airways yakni pembawa bendera rasmi Yugoslavia dan syarikat penerbangan terbesar negara itu.

Walau bagaimanapun, impian Vesna untuk bergelar pramugari dan pergi mengembara ke seluruh dunia hampir malap apabila wanita itu menyedari penyakit tekanan darah rendah yang dialaminya akan menyebabkan Vesna gagal ujian perubatan.

Enggan membiarkan impiannya terkubur begitu sahaja, Vesna bertindak meminum beberapa cawan kopi sebelum ujian perubatannya dengan harapan kafein di dalam minuman itu mampu menaikkan tekanan darahnya ke tahap normal.

Akhirnya, Vesna berjaya menyertai program latihan kru penerbangan selepas lulus ujian perubatan.

Hempasan Pesawat JAT 367

Hanya lapan bulan bergelar kru syarikat penerbangan, Vesna Vulović diarahkan untuk menyertai pasukan penerbangan Pesawat JAT 367 yang terbang dari Stockholm menuju ke Belgrade dengan transit yang dijadualkan di Copenhagen, Denmark.

Meskipun Vesna sedar bahawa syarikat penerbangan JAT sudah tersilap sangka wanita itu dengan seorang lagi pramugari yang juga mempunyai nama yang sama, Vesna segera bersetuju dan menganggap dirinya bertuah kerana dia tidak pernah melawat Denmark sebelum ini.

Namun begitu, Vesna yang bersemangat agak terpempan apabila dia bertemu dengan kru penerbangan baharunya. Tatkala Vesna tidak sabar-sabar mahu berjalan-jalan menikmati keindahan Denmark, rakan-rakan sekerjanya pula hanya fokus mahu membeli-belah dan meluangkan masa di dalam hotel.

Pada tanggal 26 Januari 1972, Pesawat JAT 367 tiba di Lapangan Terbang Copenhagen sebelum berangkat semula ke udara pada jam 3.15 petang.

Hanya 46 minit di udara, insiden dahsyat mula berlaku.

Tepat jam 4.01 petang, satu letupan dilaporkan berlaku di bahagian bagasi pesawat sekali gus mengakibatkan kapal terbang itu jatuh menjunam dari 33,3330 kaki sebelum mendarat di Srbská Kamenice, Czechoslovakia.

Daripada 28 penumpang dan anak kapal Pesawat JAT 367, hanya Vesna Vulović yang terselamat.

Proses pemulihan

Meskipun Vesna Vulović  menjadi satu-satunya individu yang terselamat daripada hempasan Pesawat JAT 367, wanita itu mengalami pelbagai kecederaan parah seperti keretakan pada tengkorak, patah tulang rusuk dan patah kedua-dua belah kakinya.

Berbekalkan pengalamannya sebagai seorang ahli perubatan semasa Perang Dunia 2, penyelamat Vesna, Bruno Honke berjaya memastikan Vesna kekal bernyawa sehingga bantuan tiba.

Selepas dibawa ke sebuah hospital di Prague, Vesna menghabiskan masa beberapa hari dalam koma untuk pulih daripada kecederaannya.

Selain mengalami kecederaan sedia ada, Vesna turun mengalami pendarahan pada otak yang mengakibatkan wanita berkenaan mengalami amnesia.

Vesna gagal mengingati kejadian hempasan pesawat berkenaan dan memori terakhirnya adalah hampir sebulan lalu di mana dia sedang bekerja sebagai pramugari seperti biasa.

Bagaimana Vesna Vulović terselamat

Walaupun kecederaan yang dialami Vesna mampu membuatkan wanita berkenaan lumpuh atau meninggal dunia, Vesna berjaya membuktikan sebaliknya apabila dia mampu berjalan semula 10 bulan selepas kemalangan ngeri terbabit.

Menurut penyiasat udara, mereka percaya Vesna terselamat daripada hempasan kapal terbang kerana wanita berkenaan berada di bahagian belakang pesawat saat ia mula-mula meletup.

Tatkala kebanyakan penumpang disedut keluar usai pesawat meletup, Vesna tersepit di antara sebuah troli makanan dan bahagian berkenaan kemudiannya mendarat di kawasan bukit yang dipenuhi pokok-pokok dan salji tebal.

Sementara itu, pihak doktor pula menganggap apa yang menyelamatkan Vesna daripada terkorban semasa hempasan kapal terbang itu adalah penyakit tekanan darah rendah yang dialaminya.

Menurut doktor yang merawat Vesna, penyakit tekanan darah rendah yang dialami wanita itu mengelakkan jantungnya daripada meletus saat menerima impak daripada lokasi hempasan.

Hasil siasatan pihak berkuasa juga mendedahkan bahawa punca sebenar Pesawat JAT 367 meletup di udara adalah kerana sebuah bom yang disorokkan di bahagian kargo kapal terbang oleh sebuah kumpulan pemisah Croatia, Ustaše yang mahukan kemerdekaan dari Yugoslavia.

Susulan daripada kejadian terbabit, pihak sekuriti lapangan terbang negara berkenaan mula mengetatkan lagi sistem keselamatan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Bagi Vesna Vulović pula, meskipun penyakit amnesia yang dialami menyebabkan dirinya lupa akan kejadian ngeri yang menimpanya, ia tidak menghilangkan minat Vesna terhadap pengembaraan.

Wanita itu dilaporkan terus menjadi kru syarikat penerbangan sehinggalah akhir hayatnya pada tahun 2016.

Untuk membaca artikel lain berkaitan penerbangan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca