Ustaz Ebit Lew Menangis Bergelinangan Air Mata Dedah Diri Diugut Gara-Gara Bantu Golongan Daif

“Saya terima banyak mesej yang memberi semangat, namun dalam masa sama banyak juga yang perli, ugut dan cakap macam-macam.

“Saya rasa sedih dan ia buat saya sedar bahawa dunia ini tak seindah yang kita bayangkan, ujian datang tapi saya percaya ujian ini hanya satu tujuan iaitu sebab Allah sangat sayang pada kita,” demikianlah luah Ustaz Ebit Lew dalam satu siaran langsung menerusi laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Perkongsian Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew selama kira-kira 50 minit itu ditonton lebih 216,000 orang. Rata-rata yang menonton juga tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan komen semangat dan membina kepadanya.

“Dari umur 12 tahun saya buat kerja ini, saya bercita-cita untuk membantu seramai mungkin.

“Ramai orang yang hantar mesej beritahu ada orang yang tidur di bawah jambatan dan banyak lagi, saya sedih.

“Rasa macam perlu buat sesuatu dan tak akan kita tak buat apa-apa untuk mereka.

“Sebelum ini, saya sibuk berniaga, saya kena tunggu 20 tahun baru saya ada rumah sendiri, beli cermin mata untuk mak saya.

“Tetapi saya tak sempat untuk belanja mak saya makan sedap-sedap, jadi saya fikir apa salahnya kalau saya belanja orang lain makanan sedap,” katanya yang sedih kerana niatnya membantu disalah erti oleh segelintir pihak.

Menurut pendakwah bebas yang berusia 36 tahun itu, dia akan meneruskan perjuangan dan menggunakan teknologi untuk menyampaikan kasih sayang kepada orang ramai.

“Walaupun kita tak pernah kacau orang, sentuh atau hina sesiapa, tetapi tetap orang kacau dan ugut cakap bukan-bukan, saya rasa sedih, ada rasa putus asa.

Namun, saya percaya ini ujian Allah sama seperti saya berdakwah dulu, saya dihalau dan dimaki, tetapi apalah sangat yang kita lalui ini dengan apa yang dilalui oleh sahabat nabi.

Erti hidup ini ialah bantu orang lain. Saya maafkan orang yang keji dan ugut saya baik orang biasa, orang besar, orang berkuasa, saya tak kisah sebab saya maafkan semua.

Saya hidup sebab Allah dan selama ini bukan mereka yang beri saya makan, dulu pun saya dengan mak saya waktu susah bukan mereka yang tolong.

Jadi saya tak boleh berhenti untuk bantu orang lain. Kita semua sebuah keluarga tidak kira bangsa dan agama.

Saya percaya kalau bukan hari ini, suatu hari nanti dunia akan kembali seperti dulu, semua manusia saling sayang menyayangi,” katanya.

Ustaz Ebit Lew mengakhiri luahannya dengan membaca doa yang menyentuh hati dan dilihat turut mengalirkan air mata.

Untuk baca artikel lain berkenaan Ustaz Ebit Lew, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca